Majlis Memperbaharui Memorandum Persefahaman (MoU) antara UiTM dan Selangor Youth Community (SAY)

Petaling Jaya, 15 Mei 2024 – Majlis Memperbaharui Memorandum Persefahaman (MoU) antara Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Selangor Youth Community (SAY) yang disaksikan oleh Duli Yang Teramat Mulia Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj, Raja Muda Selangor. UiTM diwakili oleh Profesor Datuk Dr. Shahrin bin Sahib @ Sahibuddin, FASc (Naib Canselor UiTM) dan Profesor Madya Ts. Dr. Roslinda Alias,CDMP (Pengarah Unit Perkhidmatan OKU (UPO) UiTM). Manakala mewakili pihak SAY pula adalah Encik Aiman Syafiq Nazri , Ketua Pegawai Eksekutif SAY dan Encik Abdul Azim Naim Rahman – Eksekutif Keusahawanan Selangor.

Antara matlamat utama majlis ini diadakah bagi meneruskan kerjasama strategik dalam agenda pemerkasaan orang kurang upaya (OKU) di Selangor, khususnya dalam kalangan belia. Ianya juga bertujuan untuk memperkukuh kerjasama antara kedua-dua pihak dalam melaksanakan pelbagai inisiatif yang menyokong pembangunan dan integrasi OKU dalam masyarakat khususnya di Selangor.

Profesor Datuk Dr. Shahrin bin Sahib @ Sahibuddin menyatakan bahawa kerjasama ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan UiTM dalam menzahirkan kepedulian dalam agenda pemerkasaan dan pemberdayaan OKU di Selangor dan UiTM. Beliau menekankan bahawa UiTM sentiasa berusaha untuk menjadi peneraju dalam menawarkan pendidikan yang berkualiti bagi semua lapisan masyarakat, termasuklah OKU.

Hasil kerjasama yang terdahulu, beberapa inisiatif telah berjaya dicapai. Di antaranya lantikan UPO UiTM sebagai sekretariat dan mentor bagi Program Liga OKU Selangor anjuran SAY dan Exco Keusahawanan Selangor. Program “Train of the Trainer” Liga Usahawan OKU Selangor (SAY LEAD), serta penghasilan lima jurnal artikel berimpak yang telah diterbitkan di Scopus dan ERA melalui geran penyelidikan bernilai RM4,800.

Kerjasama ini selaras dengan komitmen UiTM dan SAY untuk memperkasakan golongan OKU melalui program-program yang holistik dan berimpak tinggi. Ia juga mencerminkan usaha berterusan untuk memastikan golongan OKU mendapat akses kepada peluang yang sama rata serta dapat menyumbang kepada pembangunan sosio-ekonomi negeri Selangor dan negara secara keseluruhannya. Dengan adanya inisiatif seperti ini, diharapkan lebih banyak pencapaian akan diraih di masa hadapan, memperkukuh lagi peranan OKU dalam masyarakat.