MAJLIS LAWATAN PENANDA ARAS DAN MENANDATANGANI MOU ANTARA BIDANG SENIBINA LANDSKAP, UiTM KAMPUS PUNCAK ALAM BERSAMA PROGRAM STUDI ARSITEKTUR, FAKULTAS TEKNIK, UNIVERSITAS MATARAM, INDONESIA

PUNCAK ALAM, 25 September 2023 – Satu Majlis Lawatan Penanda Aras dan Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Universiti Teknologi MARA, Malaysia dan Universitas Mataram, Indonesia telah berlangsung di Galeri Senibina, Kolej Pengajian Alam Bina (KAB), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Puncak Alam.

Pihak – pihak yang terlibat dalam majlis tersebut adalah Bidang Senibina Landskap, Kolej Pengajian Alam Bina, UiTM Kampus Puncak Alam dan Program Studi Arsitektur, Fakultas Teknik, Universitas Mataram, Indonesia. Kolej Pengajian Alam Bina diwakili oleh Profesor TPr Dr Jamalunlaili Abdullah selaku Penolong Naib Canselor, manakala bagi Fakultas Teknik, Universitas Mataram diwakili oleh Ketua Program Studi Arsitektur, Prof. Madya Ir. Rini S. Saptaningtyas. Antara yang turut hadir menyaksikan majlis tersebut adalah pengurusan tertinggi KAB yang terdiri daripada Prof. Madya Ts. Dr. Emma Marinie Ahmad Zawawi (Dekan Akademik dan Antarabangsa), Prof. Madya Dr. Yusfida Ayu Abdullah @ Mohd Zain (Dekan Jaringan Industri, Komuniti dan Alumni), Prof. Madya Dr. Siti Norlizaiha Harun (Ketua Pengajian Perancang Bandar dan Senibina Landskap) dan Prof. Madya Hjh. LAr. Ts. Dr. Nurhayati Abdul Malek (Koordinator Bidang Senibina Landskap). Selain itu, majlis menandatangi MoU ini turut disaksikan oleh dua orang wakil daripada Program Studi Arsitektur, Fakultas Teknik, Universitas Mataram iaitu Prof. Madya Teti Handayani dan Encik Muhammad Iqbal Raissilki.

Tempoh pelaksanaan Memorandum Persefahaman ini adalah dimuktamadkan selama tiga tahun berkuatkuasa daripada tarikh 25 September 2023. Hasil daripada termeterainya memorandum tersebut, maka para pelajar dan pensyarah kedua-dua bidang dapat memanfaatkan program dan aktiviti yang bakal direncanakan. Antara program yang akan dilaksanakan adalah jalinan kerjasama dalam pengajaran dan pembelajaran, mobiliti pelajar serta penyelidikan dan penerbitan.

Adalah diharapkan dengan wujudnya jalinan kerjasama MoU ini, para pelajar dan pensyarah khususnya bidang senibina dan senibina landskap bagi kedua-dua universiti dapat meneroka potensi dan juga menimba pengalaman daripada pelaksanaan program tersebut. Ini sudah tentu berpotensi untuk menghasilkan lebih banyak lagi peluang yang dapat diterokai pada masa akan datang demi merealisasikan visibiliti UiTM ke peringkat global.

Penulis Utama: Mohd Zahid Mohd Salleh
Penulis Kedua: Sharifah Khalizah Syed Othman Thani
Penulis Ketiga: Hikmah Kamarudin

Posted Under