Fakulti Pendidikan, UiTM Kampus Puncak Alam – Pejabat Hal Ehwal Pelajar, Fakulti Pendidikan dan Pejabat Hal Ehwal Pelajar, Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS) telah menganjurkan dengan jayanya Majlis Kemuncak Pencarian Ikon Muaddib Fakulti Pendidikan pada 16 Disember 2021 (Khamis).
Program Pencarian Ikon Muaddib Fakulti Pendidikan 2021 adalah program bersiri selama 5 minggu dimana 33 muaddib terpilih, dari kalangan pelajar lelaki Fakulti Pendidikan, telah bertungkus lumus mempelajari pelbagai ilmu tentang hal-hal bacaan ayat Al-Quran dan pengendalian Majlis Tahlil di bawah bimbingan para murabbi dan pendidik yang bertauliah dan berpengalaman. 33 Muaddib yang telah dipilih sebelum ini telah melalui proses saringan, dimana para murabbi telah pada akhirnya memilih 3 calon terbaik untuk bertanding di peringkat akhir pada Malam Kemuncak, berdasarkan penilaian video-video yang telah dimuat naik ke pelantar YouTube oleh para muaddib.
Majlis Kemuncak Pencarian Ikon Muaddib Fakulti Pendidikan 2021 telah dimulakan dengan pembacaan ayat-ayat Al-Quran dari wakil pelajar ACIS, Muhammad Haziq bin Zulkifli. Majlis Kemuncak ini juga menampilkan tetamu yang amat istimewa iaitu Penolong Naib Canselor, Institusi Kepimpinan dan Pembangunan (ILD) UiTM, Professor Datuk Dr. Mizan bin Hitam. Beliau juga telah berbesar hati untuk memberikan ucapan yang penuh makna untuk para hadirin malam tersebut, yang terdiri daripada audiens di dalam dewan dan juga yang berada di atas talian melalui chanel YouTube rasmi Fakulti Pendidikan – EDUTUBE: Faculty of Education UiTM.
Tiga finalis terpilih ke peringkat akhir adalah saudara Muhammad Afnan Haikal bin Syamsul Rizal, saudara Ammar Basyir bin Mohd Sabri, pelajar Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Kepujian) Pengajaran Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Kedua, dan saudara Muhammad Khairul Faizal bin Mohd Rofi, pelajar Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Sains (Kepujian) Biologi. Setelah perasmian Majlis Kemuncak, ketiga-tiga finalis Pencarian Ikon Muaddib telah mempersembahkan bacaan masing-masing, dimana mereka perlu membaca ayat-ayat terpilih, pengelolaan majlis tahlil dan disudahi dengan tazkirah ringkas mengikut tajuk dan gaya tersendiri.
Keputusan akhir Pencarian Ikon Muaddib Fakulti Pendidikan 2021 adalah seperti berikut:
i) Johan: Muhammad Khairul Faizal bin Mohd Rofi
ii) Naib Johan: Ammar Basyir bin Mohd Sabri
iii) Tempat Ketiga: Muhammad Afnan Haikal bin Syamsul Rizal
Tahniah diucapkan kepada kesemua 33 muaddib yang telah terpilih bagi mengikuti Program Pencarian Ikon Muaddib Fakulti Pendidikan 2021 dan terutamanya kepada ketiga muaddib yang telah berjaya sampai ke peringkat akhir. Semoga ilmu yang telah dikecapi akan di sentiasa menjadi pedoman apabila tiba masanya anda akan berdepan dengan para pelajar di sekolah di masa hadapan. Semoga program ini bakal melahirkan lebih ramai lagi generasi pendidik yang berkaliber.
Tidak lupa juga akan penghargaan yang tidak terhingga kepada tetamu jemputan istimewa, Penolong Naib Canselor, Institusi Kepimpinan dan Pembangunan (ILD) UiTM, Professor Datuk Dr. Mizan bin Hitam di atas kesudian beliau berkongsi pengalaman beliau yang tiada bandingan serta kesudian meluangkan masa bagi menghadiri majlis ini. Pejabat Hal Ehwal Pelajar (HEP), Fakulti Pendidikan, diketuai oleh Timbalan Dekan HEP, Dr. Zarizi Ab. Rahman ingin merakamkan setinggi-tinggi ucapan terima kasih kepada rakan kerjasama, Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS), yang diketuai oleh Timbalan Dekan HEP, ACIS, Dr. Hajar bin Opir, yang sudi bersama-sama berpadu minda dan usaha demi melahirkan generasi guru muda berkeyakinan dan berketrampilan tinggi. Semoga peluang untuk bekerjasama ini dapat dijalankan lagi dan dikukuhkan dengan penganjuran program-program berimpak tinggi yang lain pada masa hadapan.
Klik capaian untuk menonton rakaman Majlis Kemuncak Pencarian Ikon Muaddib Fakulti Pendidikan 2021: https://youtu.be/3aD9RbIkkUo