MAJLIS IKRAR BEBAS RASUAH UiTM CAWANGAN SABAH TAHUN 2024 (IBR)

KOTA KINABALU, 13 Mac 2024 –   Majlis Ikrar Bebas Rasuah (IBR) UiTM Cawangan Sabah Tahun 2024 telah dilaksanakan bersama 233 Staf UiTM Cawangan Sabah secara bersemuka dan selebihnya secara dalam talian.   Warga UiTM Cawangan Sabah telah mengikuti majlis memperbaharui Ikrar Bebas Rasuah dan Ceramah Integiti di Dewan Tun Mustapha, Ujana Sarjana, UiTM Cawangan Sabah.  Majlis ini dimulakan dengan Ceramah Integriti Yang Berusaha Penolong Kanan Pesuruhjaya Alexander S. Kunghi, Timbalan Pengarah (Pencegahan) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Sabah dan diakhiri dengan memperbaharui Ikrar Bebas Rasuah oleh warga kampus yang diketuai oleh Yang Berusaha Rektor UiTM Cawangan Sabah, Profesor Madya Dr Rozita @ Uji Mohammed.

Ikrar Bebas Rasuah ini merupakan acara tahunan kampus bagi memberi kesedaran, peringatan, dan sebagai salah satu  langkah pencegahan amalan rasuah kepada warga UiTM Cawangan Sabah.  Rasuah merupakan isu global yang perlu ditangani secara berkesan.   Pengharaman rasuah adalah jelas sama ada di dalam al-Quran dan al-Sunnah. Larangan rasuah dalam al-Quran diambil daripada celaan Allah SWT terhadap kaum Yahudi yang biasa mengambil rasuah. Allah SWT berfirman:

سَمَّاعُونَ لِلْكَذِبِ أَكَّالُونَ لِلسُّحْتِ

Maksudnya: Mereka sangat suka mendengar berita-berita dusta, sangat suka memakan segala yang haram (rasuah dan sebagainya) – Ayat 42, Surah Al-Maidah.

Kegagalan menangani jenayah ini boleh memberi kesan buruk meliputi aspek ekonomi, sosial, keselamatan dan pembangunan negara.  Amalan rasuah juga membawa kesan negatif kerana amalan ini merosakkan moral dan etika dalam masyarakat.   Justeru itu, ceramah integiriti merupakan salah satu langkah pencegahan dan peringatan kepada warga kampus untuk menjaga disiplin diri, integriti dan menolak amalan rasuah. Bak kata pepatah, sesal dahulu pendapatan sesal kemudian tiada berguna, Warga UiTM Cawangan Sabah perlu sentiasa menjaga etika dan berhati- hati supaya tidak menyesal di kemudian hari