April 2022- Bulan penuh rahmat Ramadhan 1443 H/ 2022 M terus disemarakkan dengan majlis iftar Ramadhan Jabatan Sains Gunaan (JSG) yang diadakan buat julung kalinya secara bersemuka setelah dua tahun diuji dengan batas pergerakan akibat pandemik covid-19. Majlis ini telah berjalan dengan lancarnya di Hotel UiTM Cawangan Pulau Pinang yang bertujuan untuk memberi penghargaan kepada staf JSG yang akan bersara dan berpindah ke kampus UiTM Shah Alam. Selain itu, ia juga memberi peluang kepada staf untuk merapatkan hubungan sillaturrahim sekaligus mengambil keberkatan di bulan Ramadhan untuk membuat aktiviti amal. Turut hadir adalah Koordinator JSG, Dr. Mohd Muzafa Bin Jumidali.
Iftar Ramadhan, majlis perpisahan dan aktiviti khidmat masyarakat kongsi rezeki JSG merupakan program tiga dalam satu yang dirangkumkan dalam satu majlis. Ia menjadi permulaan momentum kepada aktiviti-aktiviti JSG bagi tahun 2022. Majlis dimulakan dengan ucapan Aluan Koordinator JSG, dan dikuti dengan ucapan perpisahan oleh Pn Wan Zarina Wan Kamaruddin yang akan bersara wajib pada Mei 2022 serta Ts. Dr Mohd Zaki Mohd Yusoff yang akan berpindah ke Fakulti Sains Gunaan di UiTM Shah Alam juga pada Mei 2022. Seterusnya, diadakan bacaan tahlil ringkas serta doa selamat sementara menunggu waktu berbuka puasa. Selain itu, satu tabung Kongsi Rezeki JSG juga telah dilancarkan bagi mengumpul dana untuk diserahkan kepada para pelajar B40 UiTM Cawangan Pulau Pinang yang terpilih.
Tabung Kongsi Rezeki JSG ini merupakan antara program khidmat masyarakat yang melibatkan warga JSG dalam usaha membantu meringankan beban para pelajar B40. Semoga usaha kecil ini dapat memberi manfaat kepada yang terlibat. Seperti mana Allah SWT akan membantu kita apabila kita membantu saudara-saudara kita yang lain. Dari Abu Hurairah radliyallahu anhu berkata, telah bersabda Rasulullah SAW:
وَ اللهُ فىِ عَوْنِ اْلعَبْدِ مَا كَانَ اْلعَبْدُ فىِ عَوْنِ أَخِيْهِ
“Dan Allah sentiasa menolong hamba-Nya selama mana hamba-Nya itu menolong saudaranya”