Pada 9 Julai 2023 yang lalu, bertempat di Dewan Kolej Tun Teja UiTM Cawangan Pahang Kampus Jengka, suatu majlis bagi meraikan anggota koperasi pelajar yang bakal bergraduat telah diadakan. Majlis Apresiasi dan Ukhuwah KOSISWA ini diadakan untuk meraikan anggota koperasi yang bakal bergraduat pada semester Mac-Ogos 2023 serta menghargai anggota koperasi yang telah menyumbang jasa dan bakti kepada koperasi sepanjang keanggotaan bersama Koperasi Siswa UiTM Pahang Berhad. Majlis ini juga menghimpunkan semua anggota yang masih aktif sekaligus dapat mengeratkan ukhuwah sesama anggota. Majlis yang dianjurkan oleh Ahli Lembaga Koperasi (ALK) ini telah diketuai oleh Puan Suhanom Mohd Zaki selaku Setiausaha KOSISWA dan telah dirasmikan oleh Puan Suzaini Harmiruslin Supian yang merupakan Penyelaras KOSISWA.
Majlis pada kali ini dihadiri oleh 35 orang anggota KOSISWA staf dan pelajar. Pada majlis kali ini, KOSISWA telah merakamkan penghargaan kepada dua orang mantan ALK bagi sesi 2021-2022 iaitu Hj. Azizi@Hamizi Hashim dan Pn. Syahida Md. Zeni yang telah berkhidmat dan berkongsi ilmu serta kepakaran bersama anggota KOSISWA bagi tempoh dua tahun. Seterusnya, KOSISWA juga meraikan 14 orang anggota pelajar yang bakal bergraduat dan akan mengikuti latihan industri. Majlis ini turut memberi penghargaan kepada 4 orang anggota pelajar yang bakal bergraduat melalui Anugerah ALK Paling Aktif (dianugerahkan kepada Saudara Fashrul Idzry Aieziq Bin Nazri), Anugerah Anggota Paling Berdedikasi (dianugerahkan kepada Saudara Muhammad Fadhil Zulhilmi Bin Alfian), Anugerah Anggota Paling Konsisten (dianugerahkan kepada Saudari Nur Fatihah Binti Rosli) dan Anugerah Anggota Paling Rajin (dianugerahkan kepada Saudara Muhammad Ikmal Bin Mohd Khair).
Anugerah dan penghargaan ini diberikan sebagai tanda ingatan dan terima kasih pihak KOSISWA atas segala idea, usaha dan kerja keras yang ditunjukkan oleh anggota koperasi tanpa lelah dan jemu dalam membangun dan memajukan koperasi. Di samping penghargaan dan anugerah yang disampaikan, semua anggota yang hadir turut dijamu dengan hidangan makan tengahari. Diharapkan melalui aktiviti seperti ini akan dapat mengeratkan hubungan baik sesama anggota dan seterusnya melancarkan segala program yang akan dijalankan oleh KOSISWA pada masa akan datang.