MACHANG, 10 Disember – Majlis Anugerah Kecemerlangan Mahasiswa, UiTM Cawangan Kelantan tahun 2023 telah berjaya diadakan pada 10 Disember 2023. Majlis ini diadakan bagi meraikan kecemerlangan mahasiswa dalam bidang akademik. Seramai 1659 mahasiswa dari 25 program Diploma dan Sarjana Muda dari Kampus Machang dan Kota Bharu telah menerima Sijil Anugerah Dekan bagi Peperiksaan Akhir Julai 2023 lalu. Selain itu, 25 orang mahasiswa turut dinobatkan sebagai penerima Anugerah Mahasiswa Terbaik bagi setiap program.
Kolej Pengajian Seni Kreatif (KPSK) yang diketuai oleh Ketua Pusat Pengajian Ts. Puan Emilia Abdull Manan, buat julung kalinya dilantik sebagai penganjur MAKM pada tahun 20232 ini dengan kekuatan seramai 100 Ahli Jawatankuasa Pelaksana yang terdiri daripada pensyarah, staf sokongan dan pelajar KPSK. Turut terlibat adalah wakil pensyarah setiap fakulti, Polis Bantuan serta staf bukan akademik dari Bahagian Hal Ehwal Pelajar dan Hal Ehwal Akademik dari Kampus Machang dan Kota Bharu.
Bertemakan “Kebangsaan” dengan konsep majlis ala konvokesyen, program ini diharapkan dapat memberi suntikan semangat kepada mahasiswa yang hadir untuk terus maju di masa yang akan datang. Profesor Dr. Haji Abdol Samad Nawi, Rektor UiTM Cawangan Kelantan dalam ucapan pembukaannya berkata, mahasiswa yang hadir ke majlis ini amatlah bertuah kerana dapat diraikan secara fizikal setelah beberapa kali ianya diadakan secara dalam talian kesan dari wabak COVID-19 yang melanda dunia. Tambahnya lagi, majlis ini amat penting kerana ianya selari dengan hasrat UiTM untuk menghargai dan meraikan pencapaian setiap mahasiswa agar mereka sentiasa bermotivasi untuk terus maju dan berdaya saing di dalam dan luar UiTM.
Majlis yang berlangsung dalam dua sesi, pagi dan petang itu turut dihadiri barisan para pensyarah dari setiap fakulti untuk bersama-sama meraikan kejayaan mahasiswa mereka. Kejayaan ini merupakan acuan daripada sumbangan khidmat bakti barisan pensyarah yang gigih mencurahkan ilmu dan membimbing mahasiswa sepanjang pengajian di UiTM Cawangan Kelantan.