Berada di institusi pengajian tinggi, pastinya mahasiswa sibuk menelaah, menyiapkan tugasan yang diberikan oleh para pensyarah dan menghadapi peperiksaan. Namun begitu, perkara ini tidak menjadi halangan kepada mahasiswa yang berminat dan secara sukarela melibatkan diri mereka dengan program universiti bersama komuniti.
Penglibatan mahasiswa dalam aktiviti komuniti sebenarnya memupuk kemahiran sosial mereka. Peluang sebegini di universiti mampu memberikan impak kepada sukarelawan mahasiswa ini dalam menghayati erti kehidupan sebenar. Sebagai golongan belia, program melibatkan komuniti terutama masyarakat setempat berhampiran dengan kampus amat memberi manfaat kepada kedua-dua pihak iaitu mahasiswa dan masyarakat.
Bekerjasama dalam kumpulan dengan mengaplikasikan kemahiran dan ilmu serta pengetahuan kepada komuniti dapat melahirkan mahasiswa yang holistik. Dalam mendalami dan memahami kehidupan komuniti, mahasiswa berupaya menimba pengalaman baharu dan seterusnya menakluki konsep kesejahteraan hidup. Semestinya menghadapi realiti sebenar kehidupan adalah amat mencabar. Penglibatan mahasiswa bersama aktiviti komuniti sedikit sebanyak membuka ruang minda mereka dan sebagai persediaan menghadapinya seusai tamat pengajian kelak.
Sepanjang tahun 2023, Jabatan Undang-Undang Universiti Teknologi MARA Cawangan Perak Kampus Tapah telah menganjurkan dua program mahasiswa bersama komuniti yakni pertamanya pada bulan Januari dan keduanya pada bulan Disember. Diharapkan pengalaman berharga mahasiswa ini dapat memberikan 1001 manfaat kepada mereka mendepani erti kesejahteraan hidup bersama komuniti yang akan dihadapi mereka dalam realiti sebenar mereka nanti.