LPPKN Negeri Pahang Jalin Kerjasama UiTM Pahang anjur Program Jelajah Peduli Keluarga di Bera
Pahang, 20 Mei 2023 – Meningkatkan kesedaran masyarakat tentang pentingnya peranan keluarga dalam pembentukan generasi yang berkualiti adalah satu usaha yang berterusan demi menjana nilai-nilai positif dalam keluarga seperti kebersamaan, saling menghormati, saling percaya, dan saling menyayangi antara satu sama lain.
Demi memperkukuhkan institusi kekeluargaan dalam komuniti Bera, Lembaga Penduduk Dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Negeri Pahang dengan kerjasama Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS) UiTM Pahang telah menganjurkan Program Jelajah Peduli Keluarga (JPK) pada julung kalinya di Bera. Peserta program ini seramai 200 orang yang terdiri daripada komuniti di daerah Bera dan melibatkan 20 orang pelajar UiTM Cawangan Pahang beserta 11 orang pelajar antarabangsa yang sedang menjalani latihan praktikum perguruan di sekitar Jengka untuk memberi pendedahan tentang kemasyarakatan di Malaysia.
Program ini bertujuan untuk menyokong dan melindungi kebajikan rakyat serta membantu ahli keluarga untuk terus kekal sejahtera melalui penyampaian bakul makanan dan penglibatan ahli keluarga dan komuniti setempat dalam mendapatkan aksesibiliti perkhidmatan LPPKN seperti Pusat Keluarga Bergerak, agensi KPWKM dan agensi negeri.
YB. Dato’ Sabariah binti Saidan, DIMP., SMP., Exco Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita Dan Keluarga Negeri Pahang dalam ucapan perasmiannya berkata, beliau menyambut baik inisiatif dan usaha yang diambil untuk membantu masyarakat terutama dalam menangani isu-isu yang berkaitan dengan keluarga dan kesejahteraan sosial. Beliau juga mengapresiasi kerjasama antara LPPKN Negeri Pahang dengan pelbagai jabatan kerajaan yang lain termasuklah UiTM Cawangan Pahang dalam menyokong dan menjayakan program ini.
Beliau mengharapkan program ini dapat memberikan impak positif terhadap kehidupan masyarakat terutama dalam membantu mereka yang memerlukan. Beliau juga berharap agar program ini dapat dilaksanakan secara berterusan sebagai satu usaha untuk membantu masyarakat dalam mencapai kesejahteraan dan kebahagiaan hidup.
Tambahnya, beliau berharap masyarakat dapat menghayati dan memanfaatkan program ini dengan sebaiknya, serta berusaha mempertingkatkan keupayaan dan kemahiran diri agar berdikari dan menyumbang kepada pembangunan negara. Beliau juga berpesan agar seluruh masyarakat dapat memainkan peranan yang aktif dalam membangunkan dan meluaskan manfaat program ini untuk kesejahteraan bersama.
Program ini melibatkan YB. Dato’ Zaman Azam Bin Mohamad Sarof@Ahmat (Tuan Pegawai daerah Bera), Yang Berusaha, Encik Jimbau Munggat (Pengarah LPPKN Negeri Pahang), Yang Berbahagia, Superintendan Tuan Zulkifli Bin Nazir (Ketua Polis, Ibu Pejabat Polis daerah Bera), Yang Berusaha, Dr. Haji Asjad Bin Mohamed (Ketua Pusat Pengajian Akademi Pengajian Islam Kontemporari mewakili Rektor UiTM Pahang), Ketua-Ketua Dan Wakil-Wakil Ketua Jabatan Daerah Bera, Ketua-Ketua Kampung Mukim Bera, Wakil-Wakil Media, & Pegawai Dan Ahli Jawatankuasa Program.