Langkah penjimatan tenaga elektrik merupakan sesuatu perkara yang sangat penting demi kelangsungan hidup genarasi kini dan akan datang. UiTM Cawangan Pahang Kampus Jengka, di bawah Pejabat Pengurusan Infrastuktur Dan Infostruktur (PPII) mengambil inisiatif bagi mendepani kempen penggunaan elektrik secara mapan telah mencipta satu litar yang berfungsi untuk memutuskan aliran elektrik secara automatik atau dikenali sebagai Auto-Break Supply (ABS). Litar ABS ini dibangunkan oleh unit mekanikal yang diketui oleh En. Mohd Hamizan Awang Mat bagi menangani isu penggunaan penghawa dingin yang berlebihan di bilik tutorial di bangunan fast-track. Keseluruhannya, bilik-bilik tutorial di bangunan fast-track dilengkapi dengan 80 unit penghawa dingin.
Perkara lazim yang berlaku adalah terdapat penghawa dingin di bilik tutorial yang tidak ditutup pada waktu malam sehinggakan ia digunakan semula pada siang hari. Selain daripada meningkatkan bil elektrik, penggunaan secara berterusan ini turut menyebabkan kerosakan peranti dalaman penghawa dingin terutamanya kompresor. Kos baik pulih kompresor memakan belanja sekitar RM2000 ke RM3000 bagi seunit penghawa dingin jenis ceiling exposed. Setiap bilik tutorial pula secara purata dipasang dengan dua unit penghawa dingin jenis ini.
Dari segi teknikal, litar ABS yang direka ini dilengkapi dengan Digital Programmer Timer (DPT) dan contactor. DPT yang digunakan mempunyai spesifikasi tertentu yang khusus untuk berfungsi dalam sistem pengawalan penghawa dingin dengan kuasa 15-16 ampere. DPT akan mengawal contactor untuk menyambung atau menutup aliran elektrik ke unit penghawa dingin. Jika sambungan elektrik berlaku, penghawa dingin akan berfungsi setelah pengguna menekan butang “ON” pada suis. Sebaliknya juga, jika sambungan elektrik diputuskan oleh contactor, maka penghawa dingin akan tertutup dengan sendiri walaupun pengguna tidak menekan butan “OFF” pada suis. DPT yang digunakan adalah jenis 6 bip, bermaksud pelarasan waktu untuk sambungan atau penutupan aliran elektrik boleh berlaku sebanyak 6 kali sehari. Jadi, pihak pentadbiran boleh merancang dengan baik untuk menetapkan waktu-waktu penghawa dingin perlu berfungsi dan sebaliknya.
Sehingga kini, litar ABS ini telah di pasang di blok B, aras 1 di bangunan fast-track bagi mengawal 12 unit penghawa dingin. Kos yang telah digunakan adalah kurang daripada RM3000 mengikut harga barang di pasaran. Kos pemasangan ini jauh lebih murah berbanding kos selenggaraan penghawa dingin. Masih terdapat banyak kerja-kerja pemasangan litar ABS yang perlu dilaksanakan supaya keseluruhan penghawa dingin di bangunan fast-track dilengkapi dengan sistem kawalan automatik ini.
Semestinya ia bakal menjadi satu titik tolak dalam strategi penggunaan dan penjimatan elektrik di UiTM Pahang, yang mana litar ABS ini juga mampu diaplikasi di bangunan-bangunan lain termasuklah bangunan pejabat pensyarah, pentadbiran dan mungkin juga di bangunan kolej penginapan pelajar yang berkaitan. Selaras dengan inovasi ini, kempen dan panduan penjimatan elektrik sering dihebahkan kepada warga kampus. Ini penting supaya inovasi mampu bergerak selari dengan kesedaran di kalangan pengguna.