Pada 9 Mei 2024 bersamaan 30 Syawal 1445 yang lalu, Unit Penasihat Akademik dan Unit Kebajikan Pengajian Kejuruteraan Awam (PKA) UiTM Cawangan Pulau Pinang (UiTMCPP) buat pertama kalinya menganjurkan Majlis Apresiasi dan Jamuan Raya Pengajian Kejuruteraan Awam untuk semua warga PKA. Penang Civil Engineering Student’s Society (PCES) pula menjadi wakil pelajar dalam sama-sama membantu melancarkan majlis ini. Di bawah kelolaan Ketua Pusat Pengajian, Dr. Juhaizad Ahmad bersama-sama Ketua Program Ijazah Sarjana Muda, Dr. Nur Ashikin Binti Marzuki dan Ketua Program Diploma, Ts. Dr. Mohd Samsudin Bin Abdul Hamid, majlis ini mendapat sambutan dan kerjasama penuh dari semua staf dan pelajar PKA walaupun berbeza bangsa dan agama. Sudah menjadi aktiviti wajib PKA untuk mengumpulkan semua Penasihat Akademik dan pelajar setiap kali mendaftar semester baru. Perjumpaan semester ini lebih istimewa kerana semua warga PKA berpeluang meraikan Syawal terakhir tahun ini bersama-sama. Majlis ini juga lebih bermakna dengan kehadiran Rektor UiTMCPP, Profesor Ir. Dr. Hj. Ahmad Rashidy Razali dan beberapa barisan Jawatankuasa Eksekutif Negeri (JKEN).
Selain itu, majlis turut mengundang tetamu kehormat dari industri iaitu THB Maintenance Sdn Bhd (THBM) dan Persada Consultancy untuk sama-sama memeriahkan majlis. Majlis turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Ts. Muhammad Tarmizi Che Othman iaitu Corporat Communication Manager dari THBM kerana sudi menyampaikan Hadiah Apresiasi sumbangan dari THBM kepada pelajar-pelajar cemerlang PKA untuk peperiksaan semester lepas. Dalam usaha menambah nilai kolaborasi antara PKA UiTMCPP dan Universitas Negeri Semarang (UNNES), Dr. Rini Kusumawardani dan Dr. Togani Cahyadi Upomo serta pelajar dari delegasi UNNES juga merupakan tetamu khas majlis ini. Secara tidak langsung, majlis ini telah menjadi satu inisiatif promosi secara global bila merancakkan budaya Melayu Islam untuk menarik minat pelajar antarabangsa ke PKA UiTMCPP. Pensyarah dan pelajar dari UNNES dapat menikmati hidangan tradisional dan budaya Hari Raya Aidilfitri di Malaysia.
Lip Lap Raya telah dipilih sebagai tema majlis sebagai panduan untuk semua warga PKA berpakaian dan merebut hadiah berupa wang tunai dalam pertandingan Busana Tercantik. Pertandingan ini terbuka kepada 2 kategori iaitu staf dan pelajar untuk lelaki dan perempuan. Selain itu, para pensyarah turut berentap dalam pertandingan tradisi menghiasi photobooth mengikut bidang masing-masing. Terdapat 4 bidang dalam PKA iaitu Geotechnic and Transportation (GeoTren), Water Resources and Environmental System (WRES), Structural and Material (StrucM), dan Construction Engineering and Project Management (CEPM) untuk merebut gelaran Juara Photobooth Tercantik. Pertandingan ini diadili oleh Juri Jemputan dari THBM dan UNNES dan telah dimenangi oleh bidang GeoTren. Staf Veteren dari 4 bidang ini juga turut dijemput dan diperkenalkan kepada pelajar sebagai menghargai pengorbanan mereka sebelum ini dan mengimbau kenangan ketika bekerjasama membangunkan PKA.
Semangat dan kerjasama dari setiap warga PKA dalam menjayakan majlis ini sangat dikagumi. Staf dan pelajar sama-sama mengambil peluang bermaafan dan beramah mesra sesama mereka dalam mengeratkan silaturrahim. Jalinan sesama staf dan pelajar perlu dikekalkan kerana kami saling memerlukan untuk kemajuan PKA di masa akan datang walaupun selepas pelajar bergelar alumni UiTM. Pelajar yang berlainan agama dari Sabah dan Sarawak turut sama bergembira meraikan dan menikmati majlis ini. Budaya menghormati sesebuah perayaan amat perlu diterapkan dikalangan anak muda demi masa depan masyarakat yang lebih harmoni. Semoga majlis ini memberi impak positif selain kenangan yang indah buat warga PKA dan tetamu jemputan.