Konsep ”Wau-risan” Gah di Tempat Ketiga Pertandingan Arca IPT, Hari Landskap Negara 2024

Shah Alam, 26 Mei 2024 – Majlis Perasmian Penutupan Forum Perbandaran Hijau (Green Urban Forum) 2024 dan Penyampaian Hadiah, Anugerah dan Sijil Penghargaan telah diadakan pada hari ketiga Hari Landskap Negara 2024. Majlis ini telah dirasmikan oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, YB Tuan Nga Kor Ming (YB KM).

Acara tersebut telah berlangsung di Dewan Aster, Bangunan Ibu Pejabat PKNS. Sebanyak 47 anugerah, trofi dan sijil penghargaan telah disampaikan pada majlis ini. Ini termasuk anugerah bagi Pertandingan Arca IPT yang disertai oleh pelajar Sarjana Muda Senibina Landskap (Kepujian), Bidang Senibina Landskap, Kolej Pengajian Alam Bina (KAB), UiTM Cawangan Selangor, Kampus Puncak Alam.

Kumpulan pelajar yang mengelarkan diri mereka Rindiani, telah dinobatkan sebagai pemenang tempat ketiga dalam pertandingan tersebut. Kumpulan ini telah mempertaruh hasil karya arca mereka berkonsepkan “Wau-risan”. Elemen utama diinspirasikan daripada permainan tradisional wau kapal.

Kumpulan Rindiani telah diselia oleh Pensyarah Kanan, Bidang Senibina Landskap, KAB, Dr. Mohd Zahid bin Mohd Salleh. Mereka membawa pulang sebuah trofi berserta wang ringgit RM1,000.00 yang telah disampaikan oleh Ybhg. Datuk Wira M Noor Azman Bin Taib, Ketua Setiausaha, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan Ketua Pengarah, Jabatan Landskap Negara, Ybrs. Tuan Hj Mansor bin Mohamad.

Pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM) telah mengungguli tempat pertama dengan hasil karya mereka berkonsepkan “Destar Warisan”, membawa pulang sebuah trofi dan wang tunai RM3,000.00. Selain itu, satu lagi kumpulan yang mewakili UPM telah dinobatkan tempat kedua dengan hasil kreatif berkonsepkan “Kotak Katik”, membawa pulang sebuah trofi dan wang ringgit bernilai RM2,000.00.

Pertandingan ini telah memberi manfaat yang besar kepada para pelajar IPT dalam meningkatkan kebolehan seni kreatif dan juga komunikasi berkesan. Diharap, pertandingan sebegini dapat diteruskan pada masa akan datang demi melahirkan anak bangsa yang kreatif dan inovatif.