Puncak Alam – Program Let’s Ace This ODL telah dianjurkan oleh Persatuan Pelajar Pengimejan Perubatan (MISA) 2021 dengan matlamat untuk memberi perkongsian ilmu dan tips-tips untuk menghasilkan kerja kursus yang berkualiti kepada mahasiswa. Di samping itu, Let’s Ace This ODL juga bertujuan untuk berkongsi teknik-teknik dan penggunaan perisian komputer seperti Microsoft Word atau laman sesawang lain. Program ini berlangsung selama 3 minggu bermula dari 19 April, 26 April dan 3 Mei 2021. Seterusnya, semua perkongsian tersebut telah dikongsi secara dimuat naik pada laman media sosial MISA seperti Facebook, Twitter dan Instagram. Melalui kreativiti dan kemahiran Exco MISA yang terlibat, info-info tersebut telah dihasilkan dengan menarik iaitu berbentuk video dan infografik poster. Dengan situasi pembelajaran jarak jauh ini, perkongsian ini sangat efektif untuk semua mahasiswa terutamanya mahasiswa-mahasiswa baharu.
Program di bawah gabungan Exco Akademik dan Kerjaya dan Exco Penerangan, Multimedia dan Publisiti Persatuan Pelajar Pengimejan Perubatan (MISA) 2021 ini telah menyediakan beberapa kandungan perkongsian untuk disediakan oleh ahli jawatan kuasa program tersebut. Selain itu, info-info tersebut tidak dihadkan kepada mahasiswa Pengimejan Perubatan sahaja tetapi turut terbuka kepada semua mahasiswa Fakulti Sains Kesihatan. Aktiviti sebegini dilihat dapat menambah ilmu pengetahuan sekaligus dapat dimanfaatkan oleh mahasiswa Fakulti Sains Kesihatan secara keseluruhan dalam menjayakan kerja tugasan mereka.
Seterusnya, perkongsian berkaitan tips dan aplikasi mencatat nota secara digital juga telah dimuat naik ke sosial media MISA pada 26 April 2021. Pertama sekali, info yang disediakan adalah kaedah membuat nota istilah. Sebagai contoh, mahasiswa perlulah membaca topik dengan teliti, tandakan isi-isi penting yang berkaitan, gunakan kreativiti tersendiri untuk membuatkan nota itu kelihatan menarik dan nota tersebut haruslah ringkas dan padat. Selain itu, terdapat beberapa cadangan aplikasi untuk membuat ‘mind mapping’ dan aplikasi untuk mencatat nota turut dikongsikan. Bagi mahasiswa UiTM, terdapat ‘Microsoft One Note’ iaitu aplikasi untuk mencatat nota telah disediakan kepada semua mahasiswa secara percuma. Dengan adanya kemudahan-kemudahan dan perkongsian ini, mahasiswa dapat memantapkan kemahiran dan mengaplikasikannya dalam menghasilkan nota secara digital dengan lebih baik.
Di samping itu, program ini telah mendapat sambutan yang sangat baik dari pelajar MISA malahan pelajar dari kursus lain yang turut berkongsi info-info ini kepada pelajar kursus mereka melalui media sosial masing-masing. Perkongsian ilmu sebegini dilihat mampu mewujudkan suasana yang kondusif dalam kalangan mahasiswa Fakulti Sains Kesihatan. Tambahan pula, program ini juga turut memberi ilmu dan kemahiran baru kepada Exco MISA yang terlibat sepanjang proses pengendalian dan penghasilan. Secara keseluruhannya, program Let’s Ace This ODL dapat memantapkan ilmu pengetahuan mahasiswa dalam menghasilkan tugasan yang berkualiti dan membantu mereka dalam menempuhi era pembelajaran atas talian kini.