Leloghat @ TikTok: Bila Budaya dan Teknologi Disatukan

Aplikasi TikTok kini tidak asing lagi dalam kalangan masyarakat. Ia kini menjadi aplikasi paling popular dan paling banyak digunakan di dunia untuk tujuan hiburan dan juga penyebaran maklumat semasa. TikTok dilihat sebagai satu platform yang berkesan untuk menarik minat masyarakat tentang sesebuah topik, kerana fungsi dan juga ketetapan yang pada TikTok mampu menjadikannya menarik.

Walaupun pada awal kemunculan TikTok dilihat sebagai satu aplikasi yang mempunyai sisi negatif melebihi sisi positif, kini ia dilihat sebagai satu medan untuk masyarakat menimba ilmu dan mendapatkan maklumat. Kini, terdapat pelbagai akaun TikTok yang dimiliki oleh pakar dalam pelbagai bidang. Mereka menggunakan TikTok sebagai platform untuk menyampaikan dan berkongsi kepakaran dengan masyarakat di dunia. Tiktok adalah medan ilmu yang dilihat berkesan dalam dunia yang kian pesat, sekiranya penggunaannya dirancang dengan betul dan teratur.

Menggunakan peluang tersebut, pelajar jurusan Sarjana Muda Komunikasi Instruksional dan Latihan (MC246) daripada Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media telah mengambil inisiatif untuk mempromosikan penggunaan loghat atau dialek negeri negeri di Malaysia. Inisiatif ini dijalankan melalui projek tahun akhir mereka yang diberi nama “Leloghat”. Leloghat merupakan satu akaun TikTok yang menyajikan pelbagai kandungan bertemakan loghat dan dialek yang ada di malaysia. Antara loghat/dialek yang diketengahkan di dalam Leloghat adalah Kelantan, Sarawak, Perak dan Negeri Sembilan.

Masyarakat kini; umumnya golongan remaja dan belia; kurang fasih dalam memahami loghat dan dialek yang digunakan di dalam malaysia. Ini adalah kerana kurangnya penggunaan loghat/ dialek di dalam percakapan harian, selain daripada ianya tidak menjadi warisan daripada generasi sebelumnya. Tujuan kandungan Leloghat direkabentuk adalah untuk memberi pendedahan dan pengetahuan berkenaan loghat serta cara penggunaan yang betul kepada masyarakat khususnya golongan remaja dan belia. Memandangkan golongan sasaran adalah remaja dan belia, pemilihan TikTok sebagai platform sebaran adalah bertepatan dengan situasi semasa. Ini adalah kerana golongan terbabit lebih banyak meluangkan masa melayari TikTok dan menjadikan TikTok sebagai medan untuk mendapatkan maklumat serta pengetahuan baharu.

Terdapat sekitar 30 kandungan yang telah direka dan diterbitkan oleh 12 orang pelajar jurusan tersebut sepanjang mereka menjalankan projek akhir tahun. Antara bentuk kandungan yang diterbitkan adalah seperti sketsa pendek, permainan dan juga kuiz. Sambutan yang diterima adalah sangat baik dimana setiap kandungan yang diterbitkan berjaya mendapat komen dan bilangan perkongsian yang banyak. Rata rata penonton menyatakan mereka terhibur dengan kandungan yang diterbitkan dan mendapat ilmu baru berkaitan loghat dan dialek di Malaysia.

Kesimpulannya, sekiranya teknologi dimanfaatkan ia akan menjadi satu medan ilmu yang sangat luas dan mampu membawa perubahan kepada landskap Pengajaran dan Pembelajaran di peringkat universiti.