25 Mac 2022 (Jumaat) | Kunjungan YBhg. Naib Canselor ke UiTM Cawangan Sabah Kampus Kota Kinabalu telah disambut mesra oleh YBhg. Rektor dan Pengurusan Eksekutif Tertinggi bertempat di Dewan Al-Bukhari, Ujana Sarjana. YBhg. Profesor Datuk Ts. Dr Hajah Roziah Mohd Janor berpeluang berinteraksi bersama warga dalam sesi ramah mesra yang telah dihadiri oleh staf akademik, pentadbiran dan para pelajar.
Dalam majlis ramah mesra tersebut, YBhg. Datuk Naib Canselor telah diraikan dengan memotong kek sebagai simbolik 200 hari pentadbiran beliau sebagai Naib Canselor UiTM. Lawatan YBhg. Naib Canselor diteruskan dengan aktiviti menanam Pokok Bunga Sakura (Tabebuia Rosea) dan lawatan ke Mini Inkubator Ternakan Lobster Air Tawar yang merupakan projek usahasama dengan TERAJU.
YBhg. Datuk Naib Canselor berbesar hati merasmikan projek Dapur HEP yang diilhamkan oleh Timbalan Rektor HEP, YBhg. Datin Dr. Rafidah @ Malisa Salleh yang memfokuskan bantuan bekalan nasi kepada pelajar kategori B40. YBhg. Naib Canselor juga telah merasmikan Resident Studio dan tampil sebagai tetamu jemputan khas temu bual secara langsung dalam rancangan INFO KAMPUS – EDISI KHAS bersama YBhg. Datuk Rektor UiTM Cawangan Sabah. Rancangan khas tersebut disiarkan secara langsung menerusi Facebook Resident Studio yang dikendalikan oleh Encik Azry John dan Encik Ahmad Ghazali Ismail. Resident Studio menyediakan pelbagai program yang menarik seperti Info Kampus, Mari Mengaji dan Segmen Keusahawanan.
Lawatan YBhg. Datuk Naib Canselor berakhir dengan berkunjung ke HTTC (Pusat Latihan Hospitaliti & Pelancongan), Fakulti Pengurusan Hotel & Pelancongan. YBhg. Naib Canselor berpeluang mencuba kopi yang disediakan oleh barista setelah selesai lawatan berpandu yang dikendalikan oleh Puan Siti Hajar Md. Shahar, Koordinator HTTC.