Inovasi Bahan Terbuang Jana Pendapatan

Pusat Pengajian Industri Perkayuan (PPIP), Fakulti Sains Gunaan, UiTM Cawangan Pahang dengan inisiatif Majlis Rekabentuk Malaysia (MRM) telah menjalankan satu projek komuniti, Program Rekabentuk Kitaran (Circular Design) pada 29 hingga 31 Mac 2022 bertempat di Pusat Kegiatan Masyarakat KEMAS, Bandar Jengka. Program Bengkel Pembangunan Rekabentuk ini bertemakan Berinovasi Jana Pendapatan Dari Bahan Terbuang. Objektif utama penganjuran program ini adalah untuk memupuk kesedaran kepada masyarakat pengguna, bagaimana bahan terbuang boleh ditingkatkan nilai guna dan diberi nilai tambah dengan olahan menjadi produk pengguna, memberi kesedaran di kalangan komuniti untuk terus menjaga bumi supaya tidak dicemari sampah atau mengurangkan sampah dan juga mengajar peserta merekabentuk dan pembangunan produk hasil seni berasaskan bahan buangan menggunakan alatan teknologi mesin.

Menurut En Husaini Ismail (Ketua Projek) proses merekabentuk merupakan proses utama dan amat penting dalam menyelesaikan masalah. Sisa-sisa buangan plastik, kayu, getah dan lain-lain, jika dapat diolah melalui proses merekabentuk ini boleh dijadikan produk upcycle dan seterusnya dapat menjana pendapatan.

Seramai 22 orang peserta yang telah menyertai program ini dan ianya terdiri daripada guru-guru dan staf KEMAS serta pensyarah dari PPIP. Peserta diberikan tiga tugasan penghasilan produk iaitu lampu dari bahan buangan botol plastik, seni khat dari bahan buangan kayu serta arca dari bahan buangan tayar. Beberapa Modul Kertas Kerja antaranya Pengenalan kepada kreativiti dan inovasi melalui rekabentuk, Jana pendapatan daripada bahan terbuang melalui rekabentuk dan Pembangunan dan pembuatan rekabentuk konsep produk melalui lakaran telah disampaikan oleh En Sulaiman bin Arshad (Pengarah MRM) dan En Husaini Ismail (Principal Designer). Manakala, pembuatan arca dari bahan buangan tayar dikongsikan demonstrasinya oleh En Zazali bin Ibrahim dari Senawang, Negeri Sembilan.

Majlis perasmian penutup telah disempurnakan oleh Timbalan Rektor Hal Ehwal Akademik, UiTM Cawangan Pahang iaitu Prof. Madya Dr. Hajah Nazirah binti Ramli pada 31 Mac 2022. Di dalam ucapannya, beliau telah merakamkan ucapan penghargaan kepada MRM kerana telah memilih PPIP bagi tujuan program kerjasama ini serta kepada pihak KEMAS dalam menjayakan keseluruhan program. Beliau juga berharap agar usahasama ini dapat diteruskan lagi pada masa akan datang bagi manfaat kepada komuniti serta pihak-pihak yang terlibat.

Penganjuran Program Rekabentuk Kitaran bersama komuniti ini dapat dipetakan dengan beberapa agenda dalam Matlamat Pembangunan Kelestarian (SDG) yang terdiri daripada 17 matlamat. Dalam menyahut baik matlamat pembangunan lestari yang telah ditetapkan, terdapat beberapa agenda yang dapat dipetakan yang mempunyai bidang tumpuan kepada agenda ke 4; Pendidikan Berkualiti, yang mana menggalakkan peluang pembelajaran sepanjang hayat kepada semua orang awam terutama komuniti setempat. Agenda ke 12; Penggunaan dan Pengeluaran Bertanggungjawab, dapat memberi tumpuan utama kepada penggunaan bahan terbuang yang boleh dikitar semula. Manakala bagi agenda ke 15; Kehidupan di Darat turut memberi tumpuan kepada keperluan menguruskan bahan buangan plastik dalam kampus. Seterusnya bagi agenda ke 17; Kerjasama Demi Matlamat, ia memberi tumpuan utama untuk menguatkan jalinan hubungan kerjasama dan kolaborasi dengan pihak organisasi luar dalam mengembangkan matlamat kelestarian SDG.

Secara keseluruhannya, penganjuran program bersama komuniti seperti ini dapat diteruskan dan diperluaskan kepada pelbagai golongan pada masa akan datang. Program ini juga amat diharapkan dapat meningkatkan lagi kesedaran kepada komuniti untuk menjana pendapatan dari inovasi bahan terbuang. Seterusnya dapat memastikan alam sekitar terus kekal bersih dan bumi terus terpelihara dalam mewujudkan keseimbangan manusia dengan alam sekitar.