Pahang, Januari 2023 – UiTM Cawangan Pahang Kampus Jengka telah menerima kunjungan delegasi daripada Fakulti Perladangan & Agroteknologi, UiTM Cawangan Melaka Kampus Jasin pada 17 dan 18 Januari 2023. Delagasi ini diketuai oleh Prof. Ts. Dr. Azhan Hashim @ Ismail selaku Dekan Fakulti Perladangan & Agroteknologi serta diiringi oleh Ketua Pusat Pengajian dan Koordinator Program Sarjana Muda Sains (Kepujian) Teknologi Dan Pengurusan Perladangan (AT220), Ts. Dr. Zaton Sapak dan Pn. Fatin Khairuddin. Turut hadir bersama Ts. Syahrizan Shahlan (Ketua Bidang Bersekutu), Puan Juliana Karim (Pegawai Sains Kanan) dan En. Muhammad Haikal Mohd Fisal (Penolong Pendaftar Akademik FPA). Kunjungan ini telah disambut mesra oleh Timbalan Rektor Hal Ehwal Akademik, Prof. Madya Dr. Nazirah binti Ramli, Timbalan Rektor Penyelidikan Dan Jaringan Industri, Prof. Dr. Wan Mohd Nazri bin Wan Abdul Rahman serta seluruh warga Fakulti Perladangan dan Agroteknologi UiTM Cawangan Pahang Kampus Jengka.
Tujuan utama lawatan ini adalah bagi melaksanakan proses Penaziran Program Sarjana Muda Sains (Kepujian) Teknologi Dan Pengurusan Perladangan (AT220) Fakulti Perladangan dan Agroteknologi, UiTM Cawangan Pahang Kampus Jengka. Objektif utama yang ingin dicapai dalam lawatan penaziran ini adalah bagi memantau, menyemak dan menilai ketersediaan pihak UiTM Cawangan Pahang Kampus Jengka dari sudut fasiliti, sumber manusia, dan kewangan untuk menawarkan semula program AT220 secara mod sepenuh masa. Lawatan ini adalah satu langkah proaktif pihak fakulti dalam memastikan proses Pengajaran dan Pembelajaran (P&P) program AT220 di semua kampus adalah seragam, berkualiti dan mematuhi kod Amalan Akreditasi Program (COPPA).
Lawatan yang dijalankan selama dua hari ini telah meliputi seluruh aspek yang ingin dinilai iaitu melihat kepada ketersediaan fasiliti seperti Bilik Kuliah, Makmal, Bengkel dan Ladang FPA. Dari sudut sumber manusia, bidang kepakaran tenaga pengajar telah juga dikenal pasti bagi memastikan proses P&P berjalan lancar tanpa sebarang masalah. Ts. Fazidah Binti Rosli selaku Ketua Pusat Pengajian Fakulti Perladangan & Agroteknologi, UiTM Cawangan Pahang Kampus Jengka telah membentangkan secara terperinci berkenaan persediaan yang telah dibuat bagi penawaran Program AT220 di Kampus Jengka.
Rumusan akhir lawatan berjaya diperolehi dimana segala maklumat yang diperlukan telah dilengkapi semasa proses lawatan ini dijalankan. Acara penutup bagi Lawatan Penaziran AT220 ini telah disempurnakan oleh Prof. Madya Dr. Nazirah binti Ramli selaku Timbalan Rektor Hal Ehwal Akademik, UiTM Cawangan Pahang. Semoga lawatan ini mampu memberi maanfaat kepada semua pihak yang terlibat secara langsung ataupun tidak.