LAWATAN PENANDAARASAN KELESTARIAN PUSAT STRATEGI UNIVERSITI KEBANGSAAN MALAYSIA (UKM) KE PUSAT HIJAU UITM@UITM GREEN CENTRE (UGC)

SHAH ALAM, 12 Jun 2023 – Pusat Hijau UiTM atau lebih dikenali sebagai UiTM Green Centre (UGC), yang merupakan unit dibawah Pejabat Pembangunan Infrastruktur dan Infostruktur (PPII) telah menerima kunjungan delegasi dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bagi tujuan Lawatan Penandaarasan Kelestarian pada 30 Mei 2023 yang lalu.

Delegasi Universiti Kebangsaan Malaysia telah diketuai oleh Prof Madya Dr. Azmul Fahimi Kamaruzzanan yang merupakan Timbalan Pengarah Eksekutif Kelestarian, Pusat Strategi UKM; Puan Farhanah Md Isa (Penolong Pendaftar Kanan), En Barudin Baharin (Penolong Pegawai Tadbir Kanan); Puan Nurul Shahira Abdullah (Pereka) dan Puan Nurhazimah Abd Kadir (Pembantu Tadbir).

Kehadiran delegasi Universiti Kebangsaan Malaysia telah dialu-alukan oleh Prof. Madya Datin Ts. Gs. Dr. Arnis Asmat (Pengarah UGC); dan diiringi oleh Prof. Madya Ts. Dr. Khairi Khalid (Timbalan Pengarah UGC) dan disertai Koordinator, Felo, staf dan pelajar latihan industri Pusat Hijau UiTM.

Sesi perkongsian telah berfokus kepada pengenalan fungsi dan objektif UGC; penarafan Ui Green Metric; pelaporan Environmental Sustainability Report (ESR) dan inisiatif dan aktiviti kelestarian yang telah dijalankan dalam Universiti. Expert Task Force (ETF) UGC turut sama berkongsi pengalaman dan kepakaran di dalam sesi lawatan ini:

1) Prof Madya Ir. Ts. Dr Bulan Abdullah (Ketua Expert Task Force Kluster Pendidikan)
2) Pn Nooraslinda Abdul Aris (Ketua Expert Task Force Environmental Sustainability Report 2022)

Melalui lawatan penandaarasan yang telah diterima buat julung kalinya ini oleh Pusat Hijau UiTM, jelas menunjukkan bahawa Universiti Teknologi MARA telah berjaya mengorak langkah dan berdiri seiring dengan institusi pendidikan tinggi tempatan di dalam menjadi peneraju inisiatif-inisiatif kelestarian di dalam kampus dan komuniti setempat. Adalah diharapkan agar inisatif hijau yang bakal diteruskan di seluruh sistem Universiti Teknologi MARA akan dirancang dan dikoordinasikan dengan lebih sistematik bagi memastikan agenda kelestarian Universiti dapat dicapai, dan seterusnya dapat menjadikan UiTM sebagai Globally Renowned University (GRU) menjelang tahun 2025.