Kerja Lapangan di Hutan UiTM Cawangan Pahang bagi Kod Kursus BIO464 untuk Pelajar AS201

PAHANG, 12 Jun 2023 – Pada 13 Mei 2023 yang lalu, pelajar Sarjana Muda Sains (Kepujian) Biologi bahagian 2 seramai 31 orang telah mengikuti kerja lapangan di Hutan UiTM Cawangan Pahang di bawah Kod Kursus BIO464. Para pelajar telah diiringi oleh Rektor UiTM Pahang memandangkan beliau adalah pensyarah amali untuk kod kursus ini. Selain itu juga, para pelajar turut diiringi oleh Polis Bantuan dan Renjer Hutan. Keperluan untuk kerja lapangan ini adalah untuk mendedahkan pelajar dengan ekosistem hutan hujan tropika serta pengumpulan bahan bagi pelajar menghasilkan video untuk tujuan penilaian kod kursus.

Perjalanan bermula pada pukul 9 pagi selepas para pelajar sarapan pagi di sekitar Bengkel Perkayuan. Sebelum perjalanan bermula, sedikit taklimat diberikan kepada para pelajar bagi memberi sedikit gambaran dan panduan perjalanan di dalam hutan. Sepanjanag berada di dalam hutan, para pelajar sangat teruja dengan kepelbagaian flora yang tumbuh di dalam hutan UiTM Cawangan Pahang. Pelbagai tumbuhan renek dan kulat turut dijumpai di lantai hutan. Rektor UiTM Pahang turut memberi penerangan berkaitan tumbuhan yang berada di sepanjang laluan. Tepat pukul 1 tengahari, para pelajar kembali ke kampus dengan menaiki pacuan empat roda yang telah menunggu di luar hutan iaitu di hutan Ulu Jempol yang berada bersebelahan dengan Hutan UiTM Cawangan Pahang. Para pelajar dibekalkan dengan makanan tengahari sebelum masing-masing pulang ke kolej kediaman.

Semoga kerja lapangan ini memberi input kepada para pelajar tentang kepelbagaian hidupan di hutan hujan tropika serta dapat memupuk kesedaran dalam pemeliharaan hutan. Diharapkan kerja lapangan ini dapat diteruskan lagi pada masa akan datang.

Laporan oleh Ts Dr Nurun Nadhirah Md Isa, Pensyarah Unit Biologi dan Pensyarah Kod Kursus BIO464.