Lawatan Naib Canselor Ke Fakulti Pendidikan

LAWATAN NAIB CANSELOR KE FAKULTI PENDIDIKAN TINGKATKAN SEMANGAT KERJA DAN PRODUKTIVITI

Pada 10 Ogos 2020, Naib Canselor Universiti Teknologi MARA (UiTM), Profesor Emeritus Datuk Ir. Dr. Mohd Azraai Kassim, telah mengadakan kunjungan rasmi ke Fakulti Pendidikan UiTM Cawangan Selangor, Kampus Puncak Alam. Kunjungan beliau telah disambut oleh pengurusan kanan serta kakitangan fakulti.

Satu sesi pertemuan di antara Naib Canselor dengan semua staf Fakulti Pendidikan telah diadakan. Dekan Fakulti Pendidikan, Yang Berusaha, Prof. Madya Dr. Nabilah Abdullah, membuka tirai pertemuan melalui pembentangan kejayaan dan pencapaian Fakulti Pendidikan untuk tahun 2019 dan 2020, serta perkongsian hala tuju, misi dan visi fakulti. Klip video pendek yang memaparkan hasrat dan harapan pemimpin-pemimpin pelajar Fakulti Pendidikan turut ditayangkan di akhir pembentangan.

Ucapan Naib Canselor memfokuskan kepada transformasi UiTM sebagai sebuah organisasi berprestasi tinggi. Beliau turut berkongsi atribut organisasi yang efisyen dan berkesan, serta 24 ciri-ciri utama universiti bertaraf dunia. Selain daripada itu, Pelan Strategik UiTM 2025 turut dikupas secara mendalam. Usai ucapan, sesi soal jawab memberi ruang kepada warga Fakulti Pendidikan untuk berkongsi pendapat, kemusykilan serta harapan demi pembangunan fakulti dan universiti. Naib Canselor turut berkesempatan melawat galeri Fakulti Pendidikan serta ruang dan premis fakulti.

Pematuhan kepada prosedur operasi standard normal baharu terutamanya berkaitan penjarakan fizikal, sanitasi tangan dan pemakaian pelitup muka diberi perhatian khusus semasa proses persediaan dan sepanjang program berlangsung.

Pengurusan kanan serta seluruh warga fakulti mengucapkan setingg-tinggi terima kasih kepada Naib Canselor UiTM, Yang Berbahagia Profesor Emeritus Datuk Ir. Dr. Mohd Azraai Kassim, di atas kesudian beliau mengunjungi Fakulti Pendidikan.