SHAH ALAM : Satu sesi lawatan muhibbah ke kediaman pelajar di Kolej Perindu UiTM Shah Alam telah dijalankan pada 7 April 2020. Sesi lawatan pada kali ini telah diketuai oleh pengetua Kolej Perindu, Encik Sumardianshah Bin Silah, bersama barisan Staf Residen Kolej (SRK), Kolej Perindu UiTM Shah Alam. Lawatan siri ke-2 ini diadakan susulan sambutan baik oleh pelajar Kolej Perindu yang diterima daripada siri sebelumnya. Sesi lawatan ini dilihat mampu memberi impak yang positif apabila terdapatnya perubahan yang dapat dilihat melalui suasana Kolej Perindu selepas Lawatan Muhibbah Siri 1 dijalankan.
Keprihatinan pengetua Kolej Perindu bersama Staf Residen Kolej yang lain tentang keadaan mahasiswa serta mengambil peduli tentang keadaan kesihatan penghuninya yang masih berada di kolej semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan jelas tergambar melalui sesi lawatan pada kali ini.
Di samping itu juga, pemeriksaan fasiliti di setiap bilik turut dijalankan dengan teliti agar tindakan awal boleh diambil oleh pihak pengurusan kolej dalam menyediakan prasarana dan infrastruktur yang terbaik kepada semua penghuni di Kolej Perindu agar dapat dimanfaatkan dengan baik tanpa sebarang masalah.
‘Perindu Feels Like Home’ membawa mesej yang sangat bermakna buat mahasiswa UiTM yang menghuni di Kolej Perindu. Mesej tersebut dapat disampaikan melalui suasana seperti di rumah yang diwujudkan oleh warga Kolej Perindu, walaupun tidak dapat bersama dengan keluarga tercinta sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang sedang berlangsung ketika ini. Pihak pengurusan Kolej Perindu juga akan memberikan sepenuh perhatian terhadap keadaan dan kesihatan penghuninya serta akan memastikan kebajikan penghuninya terjamin agar aktiviti kehidupan seharian dapat dijalankan seperti biasa.