Putrajaya, 22 Jun 2023 – Pejabat Timbalan Naib Canselor (ICAN) di bawah program sangkutan CEO@Faculty 2.0 telah menganjurkan sesi lawatan akademik dan kunjungan hormat untuk mahasiswa UiTM ke Jabatan Peguam Negara, Putrajaya pada 22 Jun 2023. Sesi lawatan ini diadakan dengan kerjasama Pejabat Timbalan Naib Canselor (HEP). Lawatan ini disertai oleh Majlis Perwakilan Pelajar UiTM Sesi 2022/2023, Sekretariat Mahasiswa Fakulti Undang-Undang, International Law Club UiTM dan Institut Pemimpin Muda UiTM. Program ini merupakan salah satu pengisian kelolaan peserta program sangkutan CEO@Faculty, Dr Wan Nurul Elia Haslee Sharil dari Fakulti Pendidikan, yang mengikuti program sangkutan dari 1 Disember 2022 hingga 31 Mei 2023 di Jabatan Peguam Negara. Turut serta di dalam sesi lawatan adalah Pengarah Jaringan Industri, ICAN, Prof Dr Muhammad Hussain Ismail, Ketua Jaringan Industri, ICAN, Dr Ahmad Shah Pakeer dan Pegawai Eksekutif, ICAN, En Mohd. Nazmi Masrek.
Semasa sesi lawatan berlangsung, para pelajar dan pegawai pengiring didedahkan dengan fungsi dan peranan Jabatan Peguam Negara. Majlis dimulakan dengan ucapan aluan daripada Datuk Tay Lee Ly, Ketua Bahagian Penyelidikan dan diikuti oleh taklimat Fungsi dan Peranan Jabatan Peguam Negara yang disampaikan oleh Peguam Persekutuan, Tuan Aftal Mariz Mohamed dan Peguam Kanan Persekutuan, Puan Nik Azrin Zairin binti Nik Abdullah. Para mahasiswa juga telah diberikan peluang untuk berdialog bersama para pegawai ini di dalam sesi ringkas ‘Q and A’.
Usai taklimat dan jamuan ringkas, para mahasiswa dan pegawai pengiring dibawa ke Perpustakaan Abu Yusuf Yakub Al-Khindi, Jabatan Peguam Negara, yang merupakan perpustakaan undang-undang tertua dan terunggul di negara ini. Perpustakaan Al-Khindi AGC mempunyai koleksi lebih daripada 92,500 jilid buku/laporan undang-undang/akta perundangan. Lawatan ini dikendalikan oleh Timbalan Pengarah Bahagian Pengurusan (Seksyen Pusat Sumber), Tuan Mohd. Haris bin Kasim. Semasa lawatan ini, para mahasiswa juga didedahkan dengan proses manual pindaan yang dilakukan ke atas sesebuah akta, selepas pindaan akta tersebut telah diwartakan. Paling menarik, para mahasiswa juga berpeluang untuk melihat ‘rare collections’ akta-akta lama seawal tahun 1920-an yang kebiasaannya tidak dibuka kepada umum. Lawatan berakhir dengan sesi fotografi dan pemberian cenderamata.