Lawatan Akademik Ke Jabatan Rehabilitasi, Hospital Haji Ahmad Shah (HOSHAS) Temerloh

Seiring dengan perubahan bagi penambahbaikan kaedah pengajaran dan pembelajaran (P&P), pihak Fakulti Sains Sukan & Rekreasi (FSR) dari Universiti Teknologi MARA Cawangan Pahang, Kampus Jengka telah mengadaptasikan kaedah Collaborative Teaching di dalam kebanyakkan kursus yang ditawarkan. Antaranya adalah kursus ‘Fundamental of Exercise Rehabilitation’ (SPS290) bagi program Diploma Pengajian Sukan (SR113) semester empat.

Diketuai oleh Dr Nurul Diyana Binti Sanuddin selaku pensyarah bertanggungjawab (LiC), dan dibantu bersama oleh dua orang lagi pensyarah kanan iatu Dr Norlaila Azura Binti Kosni dan Zulkhairi Azam, mereka telah mendekati pihak industri Jabatan Rehabilitasi HOSHAS dan berjaya mendapat persetujuan bagi tujuan kerjasama untuk Collaborative Teaching. Tujuan utama pemilihan pihak industri Jabatan Rehabilitasi HOSHAS adalah di atas kepakaran dan kemudahan fasiliti dan peralatan rehabilitasi sedia ada yang lengkap yang mana adalah sesuai bagi tujuan pendedahan akan pelaksanaan program rehabilitasi pesakit secara praktikal kepada para pelajar FSR. Selain daripada itu, ia juga bertujuan untuk membantu memudahkan para pelajar untuk memahami konsep-konsep penting rehabilitasi yang boleh dikaitkan dengan rehabilitasi sukan bagi para atlit.

Collaborative Teaching dibuat dengan lawatan akademik secara berkala ke Jabatan Rehabilitasi HOSHAS pada minggu ke sembilan hingga sebelas semester pengajian. Tiba di sana pelajar akan diiringi oleh staf dari setiap unit di Jabatan Rehabilitasi bagi tujuan penerangan dan demontrasi. Unit-unit yang dilawati adalah unit pemulihan carakerja, unit fisioterapi dan gimnasium. Di sana para pelajar diterangkan cara kerja bagaimana proses rehabilitasi dilaksanakan di setiap unit dan penggunaan alat-alat rehabilitasi di dalam membantu proses pemulihan pesakit. Manakala pada penghujung lawatan, pelajar diberikan penerangan lanjut berkenaan kaedah penilaian status kecederaan dan pemeriksaan fizikal oleh doktor pakar.

Hasil daripada kolaborasi pengajaran tersebut banyak membantu memudahkan para pelajar memahami kursus SPS290. Di samping itu pendedahan akan cara kerja pemulihan pesakit yang dibuat adalah bermanfaat kepada mereka di dalam menyiapkan tugasan kerja kursus dengan lebih baik. Jutaan terima kasih diucapkan kepada pihak Jabatan Rehabilitasi HOSHAS di atas kerjasama yang baik dan kesudian mereka di dalam usaha pensyarah untuk meningkatkan kefahaman pelajar. Adalah disyorkan kepada pensyarah yang lain agar mencari peluang untuk berkolaborasi dengan pihak industri untuk memantapkan P&P pelajar, serta dalam pada masa yang sama dapat memahami kehendak industri di dalam mempersediakan pelajar kita dari segi kebolehpasaran kerja kelak.