YB Menteri Alam Sekitar dan Air merasmikan Program Kesedaran Kepentingan Kelestarian Alam di Masjid Uwais Al-Qarni, UiTM Cawangan Pahang, Kampus Jengka

15 Julai 2022-Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) menerusi agensi Malaysian Green Technology and Climate Change Corporation (MGTC) bersama kerjasama strategik UiTM Cawangan Pahang melalui Unit Hal Ehwal Islam (UHEI), telah menganjurkan Program Kesedaran Kepentingan Kelestarian Alam bertempat di Masjid Uwais Al-Qarni, UiTM Cawangan Pahang, Kampus Jengka.

Majlis ini yang merupakan salah satu inisiatif di bawah Rumah Ibadat Hijau yang telah disempurnakan oleh YB Dato’ Sri Tuan Ibrahim bin Tuan Man, Menteri Alam Sekitar dan Air. Melalui majlis ini, YB Menteri juga telah mengumumkan bahawa Masjid Uwais Al-Qarni, telah dipilih sebagai salah satu daripada 100 buah masjid di bawah Rumah Ibadat Hijau, Kementerian Alam Sekitar Dan Air.

Melalui inisiatif ini, MGTC akan menawarkan khidmat nasihat dan bantuan dalam membantu pihak pengurusan rumah-rumah ibadat untuk menjadi lebih lestari dalam penggunaan sumber seperti menjimatkan bekalan air dan elektrik.

Beberapa program telah disusun sepanjang program ini seperti, Tazkirah Jumaat oleh Yb Menteri dan disusuli oleh bacaan Khutbah Khas Kesedaran Kepentingan Kelestarian Alam yang juga dibaca oleh YB Menteri Alam Sekitar Dan Air. Disamping itu, YB Menteri juga telah menyempurnakan penukaran kepala paip cekap air di kawasan tempat mengambil wuduk Masjid Uwais Al-Qarni dan disusuli dengan acara menanam pokok dengan tujuan menghijaukan kawasan persekitaran Masjid Uwais Al-Qarni UiTM Cawangan Pahang.

Turut diadakan dijalankan pada program ini ialah penyampaian Kit Rumah Ibadat Hijau berserta sumbangan kewangan kepada Masjid Uwais Al-Qarni serta penyerahan bantuan kewangan kepada mahasiswa golongan B40 oleh Yb Menteri.

Antara yang hadir bersama di dalam Majlis ini mewakili UiTM Cawangan Pahang adalah Prof Madya Dr Hajah Nazirah binti Ramli, Menjalankan Tugas Rektor UiTM Cawangan Pahang, Ahli-ahli Jawatankuasa Eksekutif UiTM Cawangan Pahang (JKEN), Encik Mohd Azizul Sulaiman, Koordinator Korporat.

Mewakili Unit Hal Ehwal Islam adalah Ustazah Siti Yuhanis Suhani binti Ibrahim , Penolong Pendaftar Kanan (Hal Ehwal Islam), Ustaz Abdul Mutalib bin Jamil, Penolong Pendaftar Kanan (Hal Ehwal Islam). Turut hadir mewakili MGTC adalah Ts Shamsul Bahar Mohd Nor, CEO Malaysian Green Technology and Climate Change Corporation (MGTC).

Turut Bersama adalah wakil dari Bahagian Perubahan Iklim (BPI), Kementerian Alam Sekitar Dan Air (KASA), Dr. Hartini Mohd Nasir, Timbalan Setiausaha Bahagian Perubahan Iklim serta wakil-wakil dari Bahagian Perubahan Iklim (BPI). Majlis ini juga diserikan dengan kehadiran Ketua-Ketua Pusat Pengajian (KPP)dan Jawatankuasa Majlis Perwakilan Pelajar (MPP).

Pengurusan UiTM Cawangan Pahang mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada YB Dato Sri Tuan Ibrahim Tuan Man Menteri Alam Sekitar Dan Air atas kesudian hadir menyempurnakan Program Kesedaran Kelestarian Alam Sekitar, serta menyampaikan sumbangan melalui majlis ini. Jutaan terima kasih juga di ucapkan kepada Kementerian Alam Sekitar Dan Air dan pihak MGTC atas jalinan kerjasama strategik Bersama UiTM Cawangan Pahang melalui Program Rumah Ibadat Hijau ini.

Diharapkan usaha ini dapat memupuk kesedaran dan menyemarakan lagi perkongsian ilmu pengetahuan di kalangan jemaah dan ahli masyarakat yang hadir ke rumah-rumah ibadat.