Lawatan Akademik dan Penandaarasan Penyelidikan FSG, UiTM Tapah-IPHARM Memperkasa Hubungan Akademia-Industri

Peredaran masa yang silih berganti telah memandu Universiti Teknologi MARA (UiTM) secara sedar atau tidak sedar ke persada kecermerlangan semenjak ianya dinaiktaraf kepada status universiti pada tahun 1999. Penglibatan UiTM dalam memacu akademik dan modal insan bumiputera sememangnya tidak dapat dinafikan setelah ianya melalui empat Rancangan Malaysia UiTM yang meliputi pelbagai aspek untuk segenap lapisan warga seperti penekanan pembangunan program akademik staf, pelajar dan infrastruktur fizikal, kecemerlangan pengajaran dan pembelajaran, penyelidikan, pemindahan ilmu dan pengkomersilan serta elemen tambahan iaitu kepimpinan dan keusahawanan. Namun begitu, Rancangan Strategik UiTM untuk setiap lima tahun tersebut tidak terhenti sehingga Rancangan Startegik UiTM ke-4 sahaja, bahkan ianya diteruskan lagi sehingga tercetusnya Rancangan strategik UiTM ke-5 bermula dari tahun 2021-2025 sebagai inisiatif utama bagi mengubah UiTM menjadi sebuah universiti terkemuka di dunia yang bertaraf antarabangsa (Globally Renowned University) dengan memberi manfaat kepada semua pihak.

Dalam menyahut Pelan Strategik UiTM 2025 untuk menjadikan UiTM sebagai salah sebuah institusi pengajian tinggi yang dikenali dan terkemuka di dunia pada tahun 2025, Fakulti Sains Gunaan, UiTM Cawangan Perak, Kampus Tapah telah mengorak langkah positif dengan merangka lawatan kerja akademik ke Institut Farmaseutikal dan Nutraseutikal Malaysia (IPHARM), Pulau Pinang yang telah diadakan pada 28 Febuari 2024 (Rabu). Lawatan akademik dan penandaarasan ini telah disertai oleh barisan pensyarah dan kakitangan sokongan dari Unit Makmal Sains (UMS), Fakulti Sains Gunaa, UiTM Tapah seramai 15 orang. Semenjak penubuhan IPHARM pada tahun 2006, kemajuan demi kemajuan telah dicapai selaras dengan visinya untuk menjadi sebuah pusat kecemerlangan dalam pengkomersilan serta penyelidikan dan pembangunan bioteknologi. Ini dapat dilihat daripada tertubuhnya beberapa pusat penyelidikan dalam bidang tersebut di IPHARM dengan kelengkapan yang serba lengkap dan canggih seperti makmal in-siliko dan perkomputeran, ujian sitotoksisiti, kultur kaenorhabditis elegans dan sebaginya. Tambahan lagi, IPHARM juga mempunyai keupayaan dalam menyediakan latihan dan tempat kepada para pelajar ijazah dasar untuk melaksanakan latihan industri serta pelajar ijazah tinggi untuk melakukan kerja-kerja penyelidikan mereka. Hal ini semestinya dapat dimanfaatkan oleh para ahli akademik UiTM Tapah supaya jalinan antara universiti dan industri dapat diwujudkan dalam merealisasikan aspirasi pengkomersilan universiti. Di samping itu juga, lawatan penandaarasan ini juga membuka ruang kepada kakitangan Fakulti Sains Gunaan untuk menimba pengetahuan baharu dari aspek pengkomersilan hasil-hasil penyelidikan serta latihan kepada kakitangan sokongan untuk menambahbaik mutu pengurusan makmal pengajaran dan penyelidikan di UiTM Tapah. Selain dari itu juga, bagi memastikan kerjasama ini berterusan dan terus berkembang dari semasa ke semasa, kedua-dua belah pihak telah berjaya mencapai persetujuan dalam menjalinkan kerjasama dengan lebih erat melalui pemeteraian Memorandum Persefahaman yang akan dilaksanakan dalam masa terdekat. Hal yang demikian dapat direalisaikan melalui pewujudan penyelidikan secara kolektif antara kedua-dua belah pihak sama ada dalam aspek penyeliaan pelajar, penulisan artikel, sumbangan pandangan ilmiah dan kepakaran, penyelidik bersekutu dalam geran-geran penyelidikan serta hakcipta terpelihara dan sebagainya.

Secara keseluruhannya, pihak FSG, UiTM Tapah senantiasa berlapang dada dan membuka pintu seluas-luasnya kepada sebarang bentuk kerjasama sama ada diperingkat kebangsaan mahupun di peringkat antarabangsa kerana melalui cara sedemikian kepakaran yang ada pada setiap warga FSG UiTM Tapah khususnya dan UiTM amnya dapat diketengahkan lantas dapat meletakkan university yang dicintai ini dipersada antarabangsa selaras dengan hasrat universiti di dalam Pelan Startegik UiTM untuk menjadi Globally Renowned University 2025. Kunjungan yang telah dilakukan ke IPHARM adalah titik permulaan FSG, UiTM Tapah untuk terus mengorak langkah ke hadapan dan mendokong aspirasi universiti.

Penulis : Ahmad Nazeer Che Mat, Fathiah Abdullah, Mimi Sophia Sarbandi.