LATIHAN PENGUNGSIAN BANGUNAN DI KTG, UiTM CAWANGAN PAHANG

JENGKA, 14 Jun 2023 – Jawatankuasa Perwakilan Kolej Kompleks Tok Gajah (KTG) sesi 2023/2024 dengan kerjasama SegiMaju Capital Jengka, Jabatan Bomba dan Penyelamat Jengka serta Unit Pengurusan Kolej (KTG) telah menganjurkan program keselamatan Latihan Pengungsian Bangunan (Fire Drill) yang merupakan latihan kebakaran bertujuan mendidik penghuni KTG yang terdiri daripada siswi dan Staf Residen Kolej supaya mengutamakan keselamatan sekiranya kebakaran berlaku.

Antara objektif utama Untuk memberikan pencerahan dalam mendedahkan ilmu menyelamatkan diri sekiranya kebakaran terjadi, dan menggunakan kaedah yang diperoleh untuk mengurangkan risiko bahaya sekiranya berlaku kebakaran di kolej. Program berkategorikan keselamatan ini secara tidak langsung dapat memenuhi Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) yang ke-17, kerjasama dengan pihak luar untuk memperkukuh cara perlaksanaan dan menggiatkan semula perkongsian global untuk pembangunan mampan.

Program yang berdurasi lebih kurang dua jam ini telah disempurnakan oleh Pasukan Bomba dan Penyelamat dari Balai Bomba Jengka. Tuan Muhammad Nur Syukran Bin Muhamad Hanafiah selaku Ketua Balai Bomba Jengka telah memberikan taklimat tentang langkah-langkah pencegahan dan cara mengatasi kebakaran kepada warga KTG. Selain itu, warga KTG juga telah didedahkan secara praktikal tentang cara yang betul untuk memadam api yang sedang marak dengan menggunakan alat pemadam api. Pendedahan keselamatan seperti ini sememangnya penting bagi membolehkan setiap individu bersedia sekiranya berlaku kebakaran atau perkara-perkara yang tidak diingini.

Program ini telah mendapat sambutan yang sangat baik apabila lebih daripada 3000 orang penghuni Kompleks Tok Gajah menyertai latihan kebakaran ini. Turut hadir dalam program ini ialah YBrs. Prof. Ts. Dr. Mohd Ilham Adenan (Rektor UiTM Cawangan Pahang), Dr. Hj. Mohd Kamal Azman Jusoh (Timbalan Rektor Hal ehwal Pelajar), Polis Bantuan, Staf Residen Kolej dan barisan pemimpin pelajar yang terdiri daripada Komander Kesatria, Suksis, PBSM, Majlis Perwakilan Pelajar dan Jawatankuasa Perwakilan Kolej KTG.

Dengan berlangsungnya program ini, diharap agar Universiti Teknologi MARA (UiTM) dapat melahirkan mahasiswa yang peka dan sedar akan kepentingan keselamatan diri dan sekeliling.