MACHANG, 05 Mac 2023 – Tanggal 26 Februari 2023 iaitu pada hari Ahad, Majlis Perwakilan Komander (MPK) Universiti Teknologi MARA Cawangan Kelantan (UiTMCK) telah berjaya melaksanakan ‘Program Latihan Intensif Bakal Komander’ bagi sesi 23/24 selama 7 hari bertempat di UiTM Cawangan Kelantan Kampus Machang. Program ini disertai oleh 88 orang pelajar yang terdiri daripada 26 orang siswa dan 62 orang siswi.
Program yang dianjurkan oleh MPK ini bertujuan untuk mencari pelapis komander yang mampu memberi komitmen yang tinggi, berdisiplin serta berintergriti dalam menjalankan tanggungjawab selaku komander. Oleh sebab itu, sebelum Latihan Intensif Bakal Komander (LIBK) ini dapat djalankan, terdapat beberapa ujian yang perlu dilepasi oleh Bakal Komander iaitu Ujian Kecergasan Bakal Komander bagi menilai tahap kesihatan seseorang komander itu sebelum menjalani LIBK.
Selain daripada mempelajari ilmu kawad kaki, LIBK juga turut memfokuskan kemahiran asas ikhtiar hidup ketika berada di dalam hutan dan aktiviti yang dijalankan bertempat di Kem Wawasan Negara UiTM Kelantan Kampus Machang. Pada waktu yang sama, mereka berpeluang untuk bermalam dan merasai suasana kelangsungan hidup di dalam hutan. Ilmu yang telah dipelajari ini amatlah bermanfaat serta boleh digunakan di masa hadapan.
Tambahan lagi, Majlis Merasmikan Penutup Bakal Komander telah dihadiri oleh seramai lebih daripada 150 orang terdiri daripada barisan tetamu kehormat serta para ibu bapa bakal komander dan ianya dirasmikan oleh Kolonel (Kesatria) Meer Zhar Farouk Amir Razli selaku Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar UiTM Cawangan Kelantan. Majlis penutup ini turut dimeriahkan dengan gimik persembahan oleh barisan Bakal Komander.
Berkat usaha pihak Majlis Perwakilan Komander (MPK) sesi 23/24 yang telah bertungkus lumus dalam menjayakan program ini dilihat telah mengharumkan lagi nama komander di UiTM Cawangan Kelantan. Akhir kata, peranan menjadi seorang komander ini adalah bukan sahaja untuk melahirkan individu yang berjiwa kental dan berdisiplin tinggi, malahan ia juga diharapkan mampu membantu mengangkat nama UiTM ke peringkat yang lebih tinggi di mata dunia.