Laluan Pelajar Sekolah Agama ke UiTM

Menyedari akan kepentingan serta keutamaan pendidikan tinggi bagi pelajar-pelajar yang bakal menempuh alam pasca persekolahan, satu forum bertajuk “Halatuju dan Kerjaya Pelajar Sekolah Agama” telah diadakan di UiTM Cawangan Pahang (UiTMCPh) bersama pelajar-pelajar tingkatan 5 dan 6 Sek Men Agama Maahad Sultan Ahmad Shah (Maahad SAS) yang bakal menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) pada 28 Julai (Khamis) yang lalu.

Forum ini adalah anjuran bersama oleh Maahad SAS dan Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS) UiTM Cawangan Pahang. Perjalanan forum dikendalikan sepenuhnya oleh pensyarah-pensyarah UiTMCPh dengan membariskan Dr. Asjad Bin Mohamed (dari ACIS) yg bertindak selaku moderator manakala ahli panel terdiri dari dua pensyarah ACIS iaitu Dr. Abu Bakar Jaafar dan Dr. Maziah mahmud serta seorang pensyarah dari Fakulti Perakaunan iaitu Azizi@Hamizi Hashim.

Secara keseluruhannya, soalan peserta dan input dari panel menjurus kepada kaedah-kaedah belajar secara efektif ke arah melanjutkan pengajian ke peringkat IPT. Dikesempatan ini juga, panel-panel berkongsi kejayaan yang pernah dicapai serta pengalaman pembelajaran mereka pada masa lalu bagi memberi motivasi kepada peserta-peserta forum. Daripada respon yang diberikan, rata-rata peserta amat berpuas hati dengan input dan pengalaman yang diperolehi dari sesi forum yang dijalankan.

Program seumpama ini dalam membantu UiTM Cawangan Pahang dalam menyahut saranan negara untuk mencapai Sustainable Development Goals (SDG) yang keempat iaitu SDG4: Pendidikan Berkualiti. Sebagai makluman, SDG juga dikenali sebagai Matlamat Pembangunan Lestari. SDG menggariskan 17 matlamat yang ingin dicapai menjelang tahun 2030. SDG ini menangani cabaran global yang sedang dihadapi, termasuk yang berkaitan dengan kemiskinan, ketidaksamaan, perubahan iklim, kemerosotan alam sekitar, keamanan dan keadilan. Malaysia merupakan salah sebuah negara yang komited dengan matlamat ini dan telah mengambil langkah-langkah untuk menerapkan strategi-strategi SDG.