Perkembangan fesyen dan industri pembuatan pakaian semakin meningkat berkembang pesat dan menjadi salah satu bidang pengajian pilihan utama remaja di universiti pada masa kini. Bidang ini tergolong sebagai salah satu cabang aliran pendidikan teknikal dan vokasional (TVET) di Malaysia. Kolej Vokasional (KV) adalah salah satu institusi yang menawarkan Program Seni Reka Fesyen dan para pensyarah KV sentiasa diberi latihan bagi meningkatkan kemahiran mereka supaya proses pengajaran dan pembelajaran kekal relevan. Lanjutan dari itu Jabatan Seni Reka Fesyen UiTM Cawangan Perak Kampus Seri Iskandar telah diberi peluang untuk mengendalikan kursus Pattern and Garment Construction pada 21 hingga 26 April 2024 kepada 23 orang pensyarah KV seluruh Malaysia. Program ini adalah kerjasama antara Bahagian Latihan Pendidikan Teknik dan Vokasional (BPLTV), Kementerian Pendidikan Malaysia dan konsultant One Nation Resources. Ia diadakan di Makmal Jahit, Kolej Pengajian Seni Kreatif UiTM Perak. Menurut Ketua Projek Dr Zainudin Md Nor pensyarah kanan Jabatan Senireka Fesyen, kursus ini diadakan bertujuan untuk:
1) Meningkatkan kemahiran dan pengetahuan para peserta dari segi rekaan dan pembuatan pakaian dress garment melalui perincian pakaian seperti fastening, poket, kolar dan lengan.
2) Membantu para peserta untuk memahami dan menguasai teknik-teknik dalam mereka bentuk pola dan variasi panel pakaian mengikut amalan industri fesyen serta menyesuaikannya melalui konteks pengajaran dan pembelajaran.
3) Meningkatkan kemahiran para peserta bagi melahirkan tenaga pengajar yang berkualiti dan berpengetahuan supaya pengajaran akan kekal relevan serta dapat memberi bimbingan yang berfokus kepada pelajar.
4) Untuk memenuhi PI 75-79, University Social Responsibility (USR) & Knowledge Transfer Programme (KTP).
Bagi memastikan modul yang dibangunkan lebih berkesan dan berfokus, 7 pensyarah (5 penceramah dan 2 fasilitator) seni reka fesyen terlibat dalam pengendalian kursus ini. Mereka dibahagikan topik mengikut tugasan garment details seperti membuat rekabentuk kolar, poket, lengan dan dres lengkap. Kaedah penyampaian dalam bentuk teori dan hands-on iaitu praktikal (amali). Latihan amali yang dirancang telah memberi peluang kepada para peserta untuk mengamalkan teknik-teknik yang telah diajar bagi memperkukuhkan pemahaman mereka melalui bimbingan tenaga pengajar yang berpengalaman. Secara tidak langsung, pembelajaran yang diikuti adalah secara holistik dan berkesan. Sesi perbincangan yang berstruktur dan pemerhatian berkala adalah penting bagi menilai kemajuan para peserta sepanjang kursus. Ini memberi peluang kepada para peserta untuk bertanya soalan dan mendapat maklum balas tentang prestasi mereka daripada tenaga pengajar. Para peserta juga dapat menilai tahap kecekapan mereka dan memberi keyakinan dalam penyampaian sewaktu proses pengajaran dan pembelajaran di KV masing-masing.
- Ketua Projek – Dr Zainudin Md Nor
- Ahli kumpulan (Penceramah) – Muhamad Rozali Othman, Muhammad Khalik Mustafa, Norzaleha Zainun dan Shuhaila Nahrawi
- Ahli Kumpulan (Fasilitator) – Nur Fatin Umar dan Khairi Asyraf Abdul Karim