Kursus Pengurusan Organisasi Sulung MPP UiTM Cawangan Selangor

PUNCAK ALAM, 25 Februari 2024 – Buat julung kalinya, Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UiTM Cawangan Selangor telah dilantik sebagai MPP sulung di bawah kepimpinan Hal Ehwal Pelajar (HEP) UiTM Cawangan Selangor dan sebuah Kursus Pengurusan Organisasi MPP UiTM sesi 2023/2024 telah dianjurkan bagi memberi pendedahan awal kepada setiap ahli MPP berkenaan tadbir urus HEP di peringkat universiti dengan lebih cemerlang dan mampu berdaya saing. Kursus telah dirasmikan oleh YBrs. Prof. Madya Dr. Badrul Isa selaku Timbalan Rektor HEP UiTM Cawangan Selangor. Turut hadir, Encik Mohamad Hisyam Ismail selaku Ketua Unit Kepimpinan Pelajar yang telah bertempat di Bangunan Budisiswa, UiTM Cawangan Selangor, Kampus Puncak Alam pada 23 hingga 25 Februari 2024.

Penganjuran kursus KPO kali ini amat penting bagi warga HEP dan MPP dalam menjadikan UCS sebagai kampus cemerlang dalam melahirkan mahasiswa dan pemimpin pelajar yang bersifat holistik. Bagi memastikan kecemerlangan dapat diperolehi pemimpin pelajar, HEP UCS telah menjemput perunding kepimpinan profesional yang aktif dalam melaksanakan aktiviti pemerkasaan mahasiswa iaitu KITA Dynamic. Selain elemen komunikasi, keyakinan, penampilan dan isu semasa dalam serta luar negara, penekanan kandungan program kali ini lebih berteraskan kepada Pencapaian Indikator (PI) HEP dan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) yang selari dengan anugerah kepimpinan mahasiswa seperti Majlis Anugerah MPP (MAPAM) dan Anugerah Tokoh Siswa (ATS).

 

   

Beberapa slot pengisian oleh pihak HEP telah dibentangkan daripada sudut penjagaan kesihatan mental, kewangan dan pentadbiran HEP sendiri serta perkongsian daripada mantan MPP UiTM. Sebanyak lima kluster berimpak tinggi telah dibentangkan dengan penghasilan lebih daripada 10 program berimpak tinggi di samping penekanan program yang bersifat kos yang rendah, impak yang tinggi dalam memastikan penjanaan kewangan daripada program dapat dihasilkan. Di samping penghasilan program berteraskan elemen program berimpak tinggi, perbincangan serta perancangan aktiviti kebajikan mahasiswa juga telah dirancang secara menyeluruh dalam menyahut agenda pemerkasaan mahasiswa yang disokong penuh oleh HEP UiTM dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

Melalui program yang dirancang dengan teliti ini, diharapkan ianya akan menjadi landasan kukuh yang membawa barisan MPP sulung UiTM Cawangan Selangor Sesi 2023/2024 ke arah budaya berdaya saing yang dinamik dan kompetensi. Dengan berfokus kepada matlamat UiTM untuk menjadi universiti terkemuka, program ini memainkan peranan penting dalam membentuk keupayaan pelajar untuk bersaing di peringkat antarabangsa, serta memberi impak yang tinggi terhadap pencapaian kolektif yang mendukung aspirasi UiTM menuju Globally Renowned University (GRU) 2025.