23 Februari 2020 – Persatuan Pelajar Teknologi Makmal Perubatan (MELTECH), Fakulti Sains Kesihatan (FSK), UiTM Kampus Puncak Alam telah menganjurkan Kursus Pengurusan Organisasi MELTECH 2020. Program ini telah melibatkan seramai 41 orang ahli jawatankuasa Persatuan MELTECH.
Objektif utama program ini adalah untuk memberi tunjuk ajar dan input yang berguna kepada barisan kepimpinan yang baharu tentang bagaimana sesuatu program dikendalikan serta pada masa yang sama untuk mengeratkan lagi silaturahim sesama ahli jawatankuasa. Program selama satu hari ini telah diisi dengan aktiviti penerangan penganjuran program, latihan dalam kumpulan serta sesi mock presentation bagi tugasan yang telah diberikan.
Beberapa slot coaching dan perkongsian pengalaman telah dikendalikan oleh penasihat persatuan dan para mantan seperti slot penyediaan kertas kerja program dan teknik pelaporan program yang betul mengikut sistem yang telah ditetapkan. Selain itu, ahli baru juga didedahkan dengan pembahagian gerak kerja serta protokol yang sesuai dalam menganjurkan sesuatu program.
Pengarah program, Syaima’ Farhani Binti Sukeri berkata, program yang dijalankan ini dapat mengasah bakat kepimpinan dalam diri setiap ahli jawatankuasa persatuan. Program ini juga boleh meningkatkan kemahiran insaniah dan tahap keyakinan pelajar amnya. Secara keseluruhannya, program ini telah berjaya dilaksanakan dengan lancar dan baik. Program ini juga diharapkan dapat memberi impak positif yang boleh dijadikan ilmu asas bagi penganjuran pelbagai program pada masa akan datang.