Kursus Pengurusan Organisasi (KPO) MELTECH 23

PUNCAK ALAM – Program Kursus Pengurusan Organisasi (KPO) MELTECH 23 anjuran Persatuan Pelajar Teknologi Makmal Perubatan (MELTECH), Fakulti Sains Kesihatan (FSK), Universiti Teknologi MARA Kampus Puncak Alam telah diadakan melalui platform aplikasi Google Meet. Seramai 51 orang pelajar termasuk 9 orang penganjur, 4 penceramah jemputan dan 38 peserta terlibat dalam menjayakan program ini. KPO MELTECH 23 ini telah dirasmikan oleh penasihat persatuan iaitu Puan Khairussulhi binti Jalil.

Program ini merupakan usaha Majlis Tertinggi MELTECH 23 untuk memberikan pendedahan dan informasi berkenaan skop kerja dan aliran tugas setiap biro dalam pengendalian program. Penceramah yang dijemput merupakan mantan Majlis Tertinggi MELTECH 22. Pengarah program, Khairunnisa Irdina binti Rosewan berkata, program sebegini amat diperlukan sebagai persediaan awal bagi ahli jawatankuasa MELTECH 23 untuk menganjurkan program-program pada masa akan datang. Beliau juga berharap agar semua ahli jawatankuasa yang menyertai program ini dapat menggunakan ilmu yang diberikan sebaik mungkin sekaligus mengasah bakat kepimpinan yang ada dalam diri mereka.

“Selain itu, diharapkan semua ahli jawatankuasa juga dapat komited dalam menguruskan organisasi dengan lebih baik seterusnya mengharumkan nama MELTECH dan UiTM. Hal ini sejajar dengan usaha kita untuk memperkenalkan UiTM sebagai sebuah universiti yang mementingkan pembinaan soft skills dalam kalangan mahasiswa.” katanya.