Satu Kursus Penghasilan Produk Berasaskan Nanas Bersama Kolej Komuniti Jerantut dengan kerjasama Fakulti Perladangan dan Agroteknologi (FPA) UiTM Cawangan Pahang (UCPh) dan Kolej Komuniti Jerantut telah diadakan pada pada 2 Jun 2022, jam 9.00 pagi hingga 4.30 petang bertempat di Kolej Komuniti Jerantut, Pahang. Kursus ini adalah hasil lawatan Kolej Komuniti Jerantut ke UiTM Pahang pada Disember 2021 yang lepas.
Kursus ini diadakan secara “hands-on” oleh Pensyarah Sijil Pemprosesan dan Kawalan Mutu Makanan iaitu Puan Noraihan Ahmad @ Mohamad dan Encik Ahmad Sabre Osman. Kursus ini berbayar sebanyak RM35 seorang. Antara fokus utama kursus ini adalah penghasilan kordial nanas dan sos pencicah nanas.
Kursus ini telah disertai oleh 11 orang peserta yang terdiri daripada 5 orang pensyarah FPA, 2 orang staf Unit Pengurusan Ladang (UPL), 2 orang wakil daripada komuniti Taman Negara dan 2 orang pelajar FPA. Kursus ini turut disertai oleh Ketua Pusat Pengajian FPA iaitu Ts Fazidah Rosli. Program ini dapat dilaksanakan dengan jayanya dengan kebenaran dan kelulusan daripada pihak pengurusan tertinggi UiTM Cawangan Pahang yang telah memberi kelulusan program serta memberikan bantuan kewangan untuk menyertai kursus ini.
Antara objektif kursus ini diadakan ialah untuk mempelajari kaedah penghasilan produk berasaskan nanas, mengetahui kaedah-kaedah dalam memastikan tempoh penyimpanan dan hayat sesuatu produk makanan, mempelajari kawalan mutu makanan bagi hasil produk Jengkapine yang akan dihasilkan serta mempelbagaikan produk jualan Jengkapine.
Peserta kursus dapat mempelajari kaedah dan tips terbaik dalam penghasilan serta penyimpanan produk makanan berasakan nanas. Adalah diharapkan ilmu melalui kursus ini dapat diaplikasikan di peringkat UiTM Pahang dalam mempromosikan lagi nanas MD2 Jengkapine dalam penghasilan produk-produk baru berasaskan Jengkapine.