Kursus Pemantapan Tisu Kultur Dan Analisa Polymerase Chain Reaction (PCR) UiTM Cawangan Sarawak Di Craun Research Sdn Bhd

Natural Products Research & Development Centre (NPRDC) UiTM Cawangan Sarawak telah mengambil inisiatif untuk berkolaborasi bersama pihak CRAUN Research Centre mengadakan Kursus Pemantapan Tisu Kultur dan Analisa Polymerase Chain Reaction (PCR) pada 5 hingga 6 Ogos 2020. Bengkel selama dua hari ini telah diadakan di makmal molekular dan makmal tisu kultur yang dikendalikan oleh Dr Bala anak Jamel selaku Ketua Jabatan Upstream Technology dan dibantu oleh dua orang pegawai penyelidik CRAUN, Puan Evra Raunie binti Ibrahim dan Puan Shamsyah binti Hamid.

Kursus yang telah dihadiri seramai 10 orang staf akademik dan bukan akademik UiTM Cawangan Sarawak ini bakal melahirkan staf yang kompeten dalam pengendalian makmal bioteknologi dan juga molekular tumbuhan disamping memberi pengetahuan kepada para staf dan pensyarah mengenai prosedur operasi standard (SOP) dalam bidang berkaitan bioteknologi, molekular tumbuhan dan juga pengeluaran herba.

Program yang telah berlangsung selama dua hari ini memberi fokus kepada pengendalian makmal molekular tumbuhan bermula daripada penyediaan sampel sehingga kepada analisa data PCR dan telah dijalankan di Makmal Molekular Craun Research Centre serta pengurusan dan penyediaan makmal tisu kultur bermula daripada pemilihan induk tumbuhan yang sesuai sehinggalah kepada pemindahan klon di ladang.

UiTM Cawangan Sarawak berharap dengan kursus-kursus seperti ini boleh memantapkan lagi aktiviti pengajaran dan penyelidikan dalam tisu kultur dan juga molekular sekaligus memartabatkan UiTM Cawangan Sarawak sebagai salah satu pakar rujuk dalam bidang yang berkaitan.