Kursus Melawan Kebakaran Kor Siswa Siswi Pertahanan Awam (Kor SISPA) UiTM Cawangan Selangor

Baru-baru ini, seramai 82 anggota Kor Siswa Siswi Pertahanan Awam (Kor SISPA) UiTM Cawangan Selangor telah menjalani Kursus Melawan Kebakaran di perkarangan Dewan Raja Brooke, Hutan Lipur Sg Congkak.  Program ini merupakan kursus khas di dalam silibus HBU112 Pertahanan Awam (I) yang wajib diikuti oleh semua Pegawai Kadet Pertahanan Awam (Kor SISPA) UiTM. Adapun, penganjuran dan penyertaan kali ini melibatkan usahasama antara alumni Kor SISPA UCS seramai 5 orang, beberapa orang jurulatih dari UiTM Selangor dan juga Pejabat Daerah Pertahanan Awam Kuala Selangor (PDPA).

Objektif utama kursus ini adalah untuk mendedahkan kepentingan mempelajari peralatan keselamatan dalam mengawal kebakaran. Kursus ini juga merupakan wadah pemindahan dan perkongsian ilmu antara alumni dan jurulatih bersama para pegawai kadet SISPA dalam mempraktikkan cara yang betul untuk mengendalikan peralatan-peralatan mengawal kebakaran tersebut. Selain itu, para peserta juga diajar cara yang betul untuk mengawal api serta memadamkan api dengan menggunakan peralatan yang sebenar semasa simulasi pemadaman api dijalankan seperti cara menggunakan selimut api “fire blanket” dengan betul, mengendalikan hos, mengenal pergerakan arah angin melalui asap, dan sebagainya.

Adapun, pembelajaran khas dalam modul SISPA ini juga merupakan strategi serampang dua mata melahirkan duta keselamatan yang boleh mengajar dan menyampaikan ilmu asas melawan kebakaran kepada ahli keluarga, jiran-jiran, masyarakat setempat dan juga komuniti-komuniti luar sekiranya kebakaran sebenar berlaku. Ilmu asas yang diajarkan kepada para peserta secara teori dan pratikal ini dapat diaplikasikan untuk membantu menyelamatkan keadaan dan mengelak daripada bahaya. Ini kerana sekiranya ilmu asas ini tidak dipraktikkan dengan betul, ia boleh menyebabkan situasi kebakaran menjadi lebih teruk dan boleh menyebabkan kehilangan nyawa.

Kursus yang diadakan ini juga merupakan salah satu inisiatif Kor SISPA UCS dalam menyahut seruan kerajaan dalam pembentukan generasi muda dan masyarakat yang cakna dengan ilmu dan mendapat pendidikan asas yang berkualiti selaras dengan matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN) khususnya SDG 3: Good Health and Wellbeing, dan SDG 4: Quality Education. Pihak Kor SISPA UCS sangat komited terhadap visi dan matlamat tersebut yang menekankan kepentingan pendidikan berkualiti dan meningkatkan kemahiran insaniah.

Pelaksanaan Kursus Melawan Kebakaran kali ini telah diketuai oleh Ketua Jurulatih Kor SISPA UCS, Sarjan (PA) Muhammad Ropfi bin Ahmad, dan dibantu oleh alumni Kor SISPA UCS. Menurut beliau, kursus melawan kebakaran ini sangat penting untuk dikuasai oleh semua peserta kadet yang terlibat memandangkan peserta-peserta yang hadir ini merupakan bakal-bakal pegawai kadet Kor SISPA yang akan menjadi duta keselamatan yang akan dan boleh menyampaikan ilmu asas kepada masyarakat di luar sana. Tambah beliau lagi, “program berilmiah ini perlu diteruskan pada masa yang akan datang bagi melahirkan lebih ramai lagi duta keselamatan dalam kalangan sebuah generasi muda, terutamanya dalam kalangan Pegawai Kadet Muda di universiti agar mereka lebih berani dan bersedia menghadapi situasi kecemasan dan kebakaran sebenar selaras dengan Moto Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), “SEDIA, PANTAS, BERINTEGRITI”.