Bersempena Sambutan Hari Kebangsaan Malaysia ke 64, Pejabat Kursi Institusi Raja-Raja Melayu (KIRRM) Universiti Teknologi MARA (UiTM) dengan kerjasama Muzium Diraja Kuala Lumpur, Jabatan Muzium Malaysia Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia mengadakan Kursus Legasi Raja-Raja secara dalam talian pada 18 Ogos 2021.
Kursus ini merupakan satu inisiatif bersama Kursi Institusi Raja-Raja Melayu UiTM dan Muzium Diraja dalam membantu orang awam terutamanya pelajar untuk mendalami dan memahami secara lebih mendalam mengenai warisan institusi beraja dan Perlembagaan Persekutuan mengikut tafsiran undang-undang negara. Penyertaan program ini disertai pelajar, warga UiTM, penjawat awam dan orang awam.
Lebih menarik penganjur membawakan khas YBHG Prof Datuk Dr Shamrahayu Ab Aziz, Pakar Perlembagaan yang juga Penyandang Kursi Institusi Raja-Raja Melayu UiTM mengulas secara ringkas Peranan dan Fungsi Institusi Beraja dalam Perlembagaan Persekutuan, manakala Puan Miti Fateema Sherzella Mohd Yusuf selaku Pengarah Muzium Diraja, mewakili Jabatan Muzium Malaysia menerangkan secara umum peranan dan fungsi Muzium sebagai agen memupuk semangat cintakan negara.
Penganjuran program sebegini ini diharapkan akan dapat meningkatkan lagi kesedaran masyarakat khususnya kakitangan awam dan pelajar terhadap kepentingan institusi beraja di negara ini seterusnya melahirkan rasa tanggungjawab untuk mempertahankan kelestarian institusi ini demi kelangsungan bangsa, agama dan negara bagi generasi yang akan datang.