Puncak Alam, 18 Mei 2022 – Kursus Celik Wang julung kalinya diadakan oleh Research Focus Group (RFG) Financial Literacy dengan kerjasama Islamic Banking Association (ISBA) melalui Pejabat Jaringan Industri, Komuniti dan Alumni (ICAN), Fakulti Perniagaan dan Pengurusan, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Selangor, Kampus Puncak Alam, bertujuan meningkatkan kecelikan mengenai pengurusan kewangan dalam kalangan para pelajar Sekolah Kebangsaan Parit Mahang (SKPM).
Ini adalah hasil dari Jalinan Komuniti di antara Fakulti Pengurusan dan Perniagaan dan SKPM. 40 pelajar SKPM telah hadir pada pukul 3 hingga 5 petang hari Rabu iaitu waktu kokurikulum. Timbalan Dekan Akademik, YBhg. Prof Madya Dr Zarina Denan hadir memberi ucapan. Beliau berkata, pengetahuan kewangan perlu sentiasa diperbaharui mengikut perkembangan semasa, kerjasama pelbagai pihak amat diperlukan untuk memastikan usaha ini berterusan.
“Penganjuran program sebegini diharap memberi impak yang positif kepada para pelajar SKPM, topik keusahawan contohnya, akan dipelajari pada tahun ini, program ini akan memberi pendedahan awal kepada pelajar semua” ujar Puan Noraliza Nawam, Guru Besar SKPM.
Celik kewangan yang membawa kepada bijak mengurus kewangan adalah konsep yang tidak mudah difahami oleh ramai orang. Namun demikian, jika dibahagikannya kepada langkah-langkah yang lebih kecil dan mudah, maka ia menjadi lebih mudah untuk dipelajari, dfahami dan diamalkan.
Inilah yang telah diusahakan oleh 4 orang pensyarah Kewangan iaitu Dr Norzitah Abd Karim, Dr Siti Aminah Mainal, Dr Nura Lina Md Elias dan Puan Syahrul-Niza Kamarul Ariffin. Turut hadir adalah Cikgu Sarif Bin Mat Din, Penolong Kanan Pentadbiran dan Mohd Naswadi Bin Yusof, Pembantu Makmal Komputer.
Walaupun kursus ini secara keseluruhannya diadakan di atas talian, pelajar – pelajar amat aktif berpartisipasi terutama ketika kuiz yang dikelolakan oleh pelajar ISBA.