Kursus Asas Pengendalian Drone – TVET Mahir Kerja Pusat Aspirasi Anak Perak

Program Sains Ukur dan Geomatik, Jabatan Pengajian Alam Bina dan Teknologi (JABT), Kolej Pengajian Alam Bina, UiTM Cawangan Perak telah dilantik oleh Pusat Aspirasi Anak Perak (PASAK) sebagai Penyedia Latihan TVET mahir kerja kepada komuniti belia Lenggong, Gerik dan Pengkalan Hulu. Latihan telah disediakan melalui kursus secara hands-on kepada komuniti belia Lenggong, Gerik dan Pengkalan Hulu selama lima hari. Seramai dua puluh orang peserta telah mengikuti kursus ini dengan jayanya. Kursus yang dibiayai sepenuhnya oleh PASAK dengan kerjasama UiTM Perak telah bermula pada 7 Ogos 2023 dan tamat pada 11 Ogos 2023 di Kolej Komuniti Gerik, Perak. Majlis penutup telah diadakan di tempat yang sama dan  telah disempurnakan oleh Yang Berhormat oleh Tuan Mohd Zairasyahli Shah Zakaria (Pegawai Daerah Hulu Perak).

Objektif kursus ini diadakan ialah meningkatkan kemahiran teknikal di mana belia boleh belajar tentang teknologi dron dan cara mengendalikannya dengan betul. Ini boleh membantu mereka memahami teknologi moden dan meningkatkan kemahiran teknikal mereka.  Selain itu, objektif lain adalah untuk memupuk kreativiti di mana dron boleh digunakan untuk mencipta imej dan video udara yang unik. Dalam kursus pengendalian dron, belia boleh belajar cara mencipta imej dan video yang menarik dan kreatif menggunakan dron.Oleh itu, sebanyak lima modul telah disediakan untuk kursus ini iaitu Pengenalan kepada Fotografi, Pengenalan kepada Videografi, Pengenalan kepada Dron, Hands on di lapangan dan Pemprosesan Data untuk Fotografi dan Videografi. Modul yang disediakan melibatkan sesi pengajaran dan pembelajaran secara teori dan latihan secara praktikal di lapangan. Pertandingan video terbaik juga disediakan untuk menilai pencapaian objektif pembelajaran.

Pencapaian keberkesanan kursus ini ditunjukkan melalui keupayaan peserta mengedalikan dron dan penyediaan video. Data penerbangan dron di lapangan digunakan bagi penghasilan video tersebut. Kejayaan menghasilkan video menggunakan data penerbangan dron ini menandakan para peserta dapat mengaplikasikan pengetahuan asas. Para peserta juga lebih yakin dalam pengedalian dron sendiri serta mampu menghasilkan video yang menarik selepas mengikuti kursus ini kerana telah mendapat latihan dan bimbingan daripada tenaga pengajar dari UiTM.

Tahniah diucapkan kepada peserta TVET Mahir Kerja yang telah berjaya mengikuti kursus yang dianjurkan pada kali ini. Diharapkan program ini mampu memberikan manfaat kepada para peserta yang melibatkan diri dalam kursus ini.

Laporan disediakan oleh Sr Gs Ts Dr Izrahayu Che Hashim dan Sr Gs Haslina Hashim daripada Program Sains Ukur & Geomatik, Jabatan Pengajian Alam Bina dan Teknologi, Kolej Pengajian Alam Bina, UiTM Cawangan Perak, Kampus Seri Iskandar, Perak.