PULAU PINANG, 5 Mei 2023 – Pada 17 April 2023 hingga 18 April 2023 yang lalu, Unit PPT UiTM Cawangan Pulau Pinang bersama Prof. Madya Dr. Nor Aziyah Bakhari, Pensyarah Kanan Jabatan Sains Gunaan telah menyantuni 10 orang pelajar PPT B40 di sekitar negeri Pulau Pinang. Aktiviti kunjungan prihatin ini adalah kesinambungan daripada Program Kami Prihatin 6.0 UiTM Cawangan Pulau Pinang.
Kesemua pelajar PPT yang dikunjungi menerima barangan keperluan dapur seperti beras, minyak, tepung, gula dan lain-lain yang bernilai RM100 hasil sumbangan rakan strategik Program Kami Prihatin 6.0 iaitu THB Maintenance Sdn. Bhd. dan Pak Mat Western Sdn. Bhd. Semoga hubungan baik dengan pihak industri ini akan berterusan dan lebih ramai pelajar UiTM dapat dibantu di masa akan datang.
Adalah menjadi harapan agar program lawatan ke rumah pelajar ini sedikit sebanyak dapat meningkatkan hubungan baik antara pelajar dan pihak universiti selain dapat membantu meringankan beban para pelajar dan keluarga menjelang aidilfitri. Antara kawasan yang dikunjungi adalah di sekitar Bayan Baru, Bayan Lepas, Air Hitam, Simpang Ampat, Kepala Batas, Bukit Mertjam dan Permatang Pauh.
Ramadhan sudah beransur pergi,
Syawal menjelma di Aidilfitri
Seikhlas hati menyusun jari
Sumbangan diberi kongsi rezeki
Selamat Hari Raya Aidilfitri.