Kunjungan Delegasi Universitas Darussalam Gontor Indonesia ke Fakulti Sains Gunaan UiTM Perak Kampus Tapah

Kerjasama antara universiti dari pelbagai negara merupakan salah satu cara yang sangat efektif untuk meningkatkan pemahaman antara budaya dan pendidikan. Dalam usaha memperluaskan rangkaian kerjasama antarabangsa, Fakulti Sains Gunaan UiTM Perak kampus Tapah telah menerima kunjungan delegasi dari Universitas Darussalam Gontor Indonesia pada 11 September sehingga 13 September yang lalu. Kunjungan delegasi Universitas Darussalam Gontor telah diketuai oleh Dr Parwi yang merupakan Dekan Jabatan Peneliti bersama-sama Dr Umi Isnatin, Dr. Riza Ashari dan Puan Lola Badu Waa berserta Encik Herlangga yang merupakan wakil pelajar tahun akhir bidang sains agroteknologi. Kedatangan delegasi ini adalah untuk menjalinkan hubungan yang lebih kukuh dalam pelbagai bidang termasuk pendidikan, psikologi, agrotek dan sains. Program kunjungan ini melibatkan pertemuan formal dengan pihak pentadbiran universiti serta sesi perbincangan dan pertukaran idea di antara pensyarah dan pelajar kedua-dua universiti.

Kunjungan delegasi ini merupakan langkah awal yang penting dalam mewujudkan kerjasama yang berkesan antara Universitas Darussalam Gontor Indonesia dan UiTM Perak Kampus Tapah. Selain daripada meningkatkan pemahaman antara budaya kedua-dua negara, kunjungan ini juga bertujuan untuk memperkayakan pengalaman pelajar dan pensyarah dengan pelbagai perspektif dan pendekatan dalam bidang sains gunaan.
Semasa kunjungan ini, delegasi dari Universitas Darussalam Gontor Indonesia telah berkongsi pengetahuan mereka dalam bidang kepakaran masing-masing juga sesi perbincangan yang mendalam telah membuka peluang kepada para pensyarah UiTM Perak kampus Tapah untuk mendapatkan pandangan baru dalam bidang pengajaran dan pembelajaran.

Selain itu, solusi yang diusahakan adalah mewujudkan satu jalinan kerjasama yang berterusan antara kedua-dua universiti dalam bentuk pertukaran pelajar dan pensyarah, penyelidikan bersama, dan projek-projek pendidikan bersama yang akan memberi manfaat kepada kedua-dua pihak. Kunjungan delegasi Universitas Darussalam Gontor Indonesia ke Fakulti Sains Gunaan UiTM Perak kampus Tapah adalah satu langkah positif dalam meningkatkan kerjasama antarabangsa dalam bidang pendidikan sains gunaan. Ini adalah contoh bagaimana universiti dapat berkolaborasi untuk memperluaskan wawasan pelajar dan pensyarah serta memajukan ilmu pengetahuan.

Semoga kunjungan ini akan membuka peluang-peluang baru dalam pengembangan pendidikan dan penyelidikan di kedua-dua universiti. Dengan kerjasama yang berterusan, kita dapat mencapai lebih banyak pencapaian dalam bidang sains gunaan dan berkontribusi kepada pembangunan ilmu pengetahuan yang lebih luas.