Kor SISPA UCS KENDALIKAN PROGRAM “SERVICES LEARNING MALAYSIAUNIVERSITY FOR SOCIETY (SULAM)” BANTUAN ASAS KECEMASAN BERSAMA MURID SK SG SIREH, TG KARANG

Pada 25 November 2023, Kor Siswa Siswi Pertahanan Awam (Kor SISPA) UiTM Cawangan Selangor telah menganjurkan Program SULAM: Bantuan Asas Kecemasan bersama-sama 215 orang murid SK Sg Sireh, Tg Karang, Selangor. Program yang dilaksanakan ini adalah salah satu inisiatif di bawah naungan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) melalui program Services Learning Malaysia-University for Society (SULAM) sebagaimana yang telah diadakan di Dewan Puan Sri Prof Datuk Dr. Aishah Salleh, SK Sg Sireh, bersempena Perkhemahan Unit Beruniform sekolah tersebut. Adapun, penglibatan peserta dalam Program SULAM pada kali ini adalah terdiri daripada kalangan anggota Persatuan Pengakap dan Tunas Kadet Remaja Sekolah di sekolah itu.

Kali ini, Pegawai Kadet Kor SISPA UCS dengan kekuatan anggota seramai 33 orang telah digerakkan dalam misi SULAM ini. Dalam erti kata lain, Program ini adalah salah satu kaedah pembelajaran yang melibatkan kombinasi objektif pembelajaran kursus modul SISPA dan sesi praktikal bersama komuniti setempat melalui strategi serampang dua mata. Para anggota SISPA bukan sahaja mempelajari kursus secara teori bahkan dapat mengaplikasikan pembelajaran teori dalam kuliah untuk membantu komuniti melalui perkongsian ilmu dalam memperkasakan pengetahuan mengenai fungsi bantuan asas kecemasan. Bantuan asas kecemasan ini memberi impak positif kepada segenap lapisan masyarakat kerana kemahiran ilmu dalam memberikan bantuan asas kecemasan ini perlu dibimbing dengan prosedur yang sebenar bagi mengelakkan situasi kecemasan menjadi lebih teruk dan parah yang boleh disebabkan oleh kesilapan dalam memberikan bantuan.

Program ini telah dimulakan dengan perkongsian simulasi ilmu asas kecemasan mengenai bantuan awal pernafasan atau Cardiopulmonary Resuscitation (CPR) kepada murid-murid dan juga melibatkan sesi praktikal menggunakan model. Melalui slot ini, muridmurid didedahkan dengan teknik yang betul semasa melakukan CPR dan cara mengendalikan mangsa yang terlibat. Selain itu, SULAM kali ini juga melibatkan sesi pemindahan ilmu asas balutan kepada semua murid yang terlibat. Setiap murid dibahagikan kepada kumpulan-kumpulan kecil bersama fasilitator Kor SISPA, dan telah diajarkan jenisjenis balutan asas seperti balutan tangan, siku, kepala, kaki dan sebagainya secara praktikal.

Ilmu balutan asas ini adalah sangat penting untuk dipelajari kerana kaedah balutan yang betul dapat menyelamatkan mangsa dari kesakitan dan seterusnya mengelakkan kecederaan menjadi lebih serius akibat kesilapan teknik balutan yang dibuat. Selain itu, slot perkongsian ilmu dan sesi praktikal ini juga dapat melatih anggota kadet SISPA dalam berinteraksi secara langsung dan berkongsi ilmu dengan komuniti luar.

Selaras dengan matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Pertubuhan BangsaBangsa Bersatu (UN) khususnya SDG 4: Quality Education dan SDG 16: Peace Justice and Strong Institution, Kor SISPA UCS sangat komited terhadap visi dan matlamatnya yang menekankan kepentingan pendidikan berkualiti dan meningkatkan kemahiran insaniah. Melalui sesi pembelajaran Bantuan Asas Kecemasan ini, Pegawai Kadet SISPA dapat meningkatkan daya keyakinan dalam berkomunikasi dengan masyarakat luar dan dapat meningkatkan daya pemikiran yang kreatif untuk menarik minat murid-murid dalam mempelajari sesuatu yang baru.

Program penutup SULAM kali ini telah dirasmikan oleh Pn Mislinda binti Safiie, Guru Besar SK Sg Sireh. Dalam ucapannya, beliau mengharapkan pihak Kor SISPA UCS akan terus bekerjasama membantu pihak sekolah dalam pembelajaran ilmu-ilmu berkaitan bantuan kecemasan agar seluruh warga sekolah cakna dengan ilmu bantuan asas kecemasan. Tambah beliau lagi, “program berilmiah ini perlu diteruskan pada masa yang akan datang bagi melahirkan sebuah generasi muda dari akar umbi lagi yang berani dalam menghadapi situasi kecemasan dengan ilmu yang betul dan dalam mempraktikkannya dengan cara yang sepatutnya. Turut hadir dalam program penutup SULAM tersebut adalah YDP PIBG SK Sireh, Tn Hj Fadzil bin Radzi, dan juga Kapten Bersekutu (PA) Razif bin Dasiman, yang mewakili Kor SISPA UCS serta guru-guru SK Sg Sireh.

Dengan adanya program seperti ini, diharapkan agar para Pegawai Kadet Kor SISPA UCS dapat memanfaatkan sepenuhnya masa dengan berinteraksi bersama masyarakat luar ,memperkasakan lagi cara berkomunikasi dan penyampaian ilmu agar lebih yakin, bersedia
dan berani dalam mengendalikan sesuatu program selaras dengan Moto Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), “SEDIA, PANTAS, BERINTEGRITI”.