Sebuah persidangan ilmiah iaitu Konferensi Akademik (KONAKA) 2021 telah diadakan pada 1 Disember 2021, hari Rabu, di UiTM Cawangan Pahang. Konferensi ini dijalankan di atas talian dan menggunakan platform Webex. Ia adalah anjuran JK Pelaksana KONAKA 2021.
Konferensi ini diadakan bagi mendokong usaha kerajaan untuk mencapai Matlamat Pembangunan Lestari atau lebih dikenali dengan “Sustainable Development Goals (SDG).” Oleh itu, tema KONAKA 2021 adalah “Transforming Learning Towards Advanced Sustainability.” Melalui konferensi ini perkongsian ilmu dalam bidang penyelidikan, pengajaran dan pembelajaran yang berteraskan nilai lestari akan meningkatkan kecemerlangan akademik generasi lestari masa hadapan.
KONAKA 2021 telah dirasmikan oleh YBhg. Prof. Ts. Dr. Mohd Ilham bin Adenan, Rektor UiTM Cawangan Pahang. Manakala, YBhg. Prof. Madya Ts. Dr. Syamsul Nor Azlan Mohamad, Pengarah Bahagian Pentaksiran dan Penilaian Akademik, UiTM Shah Alam telah diundang sebagai penyampai ucaptama. Tajuk ucaptama beliau ialah UiTM Sustainable Assessment Framework: Augmenting UiTM’s Assessment and Evaluation Ecosystem.
Sebanyak 22 pembentangan kertas kerja dari bidang Sains dan Teknologi dan Sains Sosial telah dipersembahkan oleh para akademia UiTM Cawangan Pahang. Hasil pembentangan ini akan disalurkan ke penerbitan e-prosiding KONAKA 2021 dan jurnal Gading (MyCite). Seramai dua orang pembentang telah dipilih sebagai pembentang terbaik bagi bidang Sains dan Teknologi dan Sains Sosial. Mereka adalah Cik Wan Noor Ainun binti Baharuddin bagi bidang Sains dan Teknologi dan Puan Azlini binti Razali bagi bidang Sains Sosial. Tahniah kepada pembentang terbaik.
Sesungguhnya, penganjuran KONAKA 2021 kali ini telah dapat mengetengahkan idea, cadangan dan bertukar pendapat di kalangan warga akademia dan sekaligus membakar lagi semangat warga akademia untuk terus berusaha dalam menghasilkan penulisan serta penerbitan yang berkualiti pada masa akan datang.