KOLEJ MELATI, UiTM SHAH ALAM – 3 & 4 Disember 2022, Jawatankuasa Perwakilan Kolej Melati sesi 2022/2023 UiTM Shah Alam dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) telah berjaya menjalankan Program Kursus Pra Perkahwinan di Dewan Platinum Melati, Kolej Melati selama 2 hari khususnya untuk mahasiswi di Kolej Melati, Universiti Teknologi MARA.
Program ini merupakan usaha Exco Kerohanian, Cik Nurfaizahtul Mahirah Jamadil bersama Penasihat Program, Ustaz Mohd Faizan Tajuid bagi melahirkan Srikandi Melati yang mempunyai pelbagai ilmu pengetahuan dalam pelbagai aspek kehidupan terutamanya dalam mempersiapkan diri dari jasmani dan rohani sebelum melangkah ke gerbang perkahwinan. Peserta juga dapat mempelajari ilmu seperti solat sunat yang perlu dilakukan dan doa – doa yang perlu diingati. Kursus perkahwinan ini sangat membantu mahasiswi terutamanya dari segi faktor bayaran yang sangat berbaloi (RM30.00) masa dan tenaga walaupun masih lambat lagi untuk mereka melangkah ke gerbang perkahwinan.
Seramai 147 orang peserta yang terdiri daripada 10 orang Jawatankuasa Perwakilan Kolej dan 137 orang Srikandi Melati telah menyertai Program Kursus Pra Perkahwinan ini. Tujuan utama program ini dijalankan adalah untuk membimbing pelajar memperolehi pengetahuan dan kefahaman berkaitan dengan ibadah perkahwinan. Di samping itu, program ini sekaligus dapat memberi galakan kepada Srikandi Melati untuk melaksanakan ibadah perkahwinan mengikut kemampuan masing-masing serta secara tidak langsung menambahkan pengetahuan Srikandi Melati terhadap perkara asas dalam ibadah perkahwinan.
Pengarah Program, Cik Nurfaizahtul Mahirah berkata “Program Kursus Pra Perkahwinan, ini telah memberi impak dan maklum balas yang positif daripada para peserta. Justeru, program sebegini sangat penting kepada mahasiswa terutamanya bagi pelajar semester akhir bagi memberi pendedahan awal tentang ibadah perkahwinan. Lanjutan itu, beliau berharap program seperti ini dapat dijalankan lagi pada masa akan datang sebagai wahana bagi Srikandi Melati untuk mendapatkan nilai tambah dalam diri mereka”.