Kolej Dahlia UiTM Selangor Cakna dan Menyokong “16 Hari Aktivisme Melawan Keganasan Berasaskan Gender”

Jawatankuasa Perwakilan Kolej Dahlia dengan kerjasama Wanita Berdaya Selangor (WBS) dan All Women’s Action Society (AWAM) Malaysia telah berjaya melaksanakan Dahlia Women Empowerment Program (DWEP) 4.0 dengan tema Bangkit! Melawan Keganasan Terhadap Wanita Dan Kanak- Kanak, bersempena kempen 16 Hari Aktivisme Melawan Keganasan Berasaskan Gender. Ianya seiring dengan inisiatif antarabangsa di bawah agensi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, UN Women yang bertemakan “UNITE! Invest to prevent violence against women and girls”.

Usaha ini adalah sebagai menyokong usaha Kerajaan Negeri Selangor melalui Jawatankuasa Tetap Pemberdayaan Wanita & Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan Ekonomi Penjagaan (Care Ekonomi) sebagai salah satu langkah advokasi khususnya kepada mahasiswa agar lebih cakna tentang bentuk-bentuk keganasan mental dan fizikal, khususnya yang berlaku terhadap wanita dan gadis.

Sepanjang 16 hari ini pelbagai aktiviti telah berjaya dijalankan bertujuan memberi kesedaran mengenai perihal wanita dan gadis dalam aspek penjagaan kesihatan dan keselamatan, kefahaman mengenai keganasan wanita serta teknik seni mempertahankan diri dalam mengatasi gangguan seksual atau keganasan wanita dan gadis. Disamping itu, program ini juga telah berjaya melaksanakan aktiviti berorientasikan kesukarelawanan iaitu menerusi Kempen Derma Darah dan aktiviti menyantuni pelatih Asrama Bahagia, Kuala Lumpur yang dilihat sangat membantu mengukuhkan semangat kesukarelawanan dikalangan mahasiswa. Hampir seramai 5000 mahasiswa telah menyertai pelbagai aktiviti yang telah dijalankan sepanjang program berlangsung.

 Majlis perasmian penutup telah disempurnakan oleh YB Anfaal Saari, Exco Pembangunan Wanita & Kebajikan Masyarakat, Negeri Selangor. Sebelum melabuhkan tirai DWEP 4.0 ini, satu forum khas bertajuk Generasi Muda Pemangkin Keluarga Sejahtera telah diadakan, dengan barisan panelis antara Profesor Datuk Ts. Dr Hajah Roziah Mohd Janor, Mantan Naib Canselor, Universiti Teknologi MARA; Puan Rozeeta@Hidayah Binti Ramli, Ketua Pegawai Eksekutif, Wanita Berdaya Selangor; Associate Professor Dr Farhan Rusli, Pakar Kesihatan Awam, Universiti Islam Antarabangsa dan PM Dr Bahiyah Abdullah, Pakar Obstetrik & Ginekologi, Hospital Al Sultan Abdullah. Walaupun sibuk dengan dengan tugasan menuntut ilmu, program ini jelas menunjukkan kejayaan UiTM membangun dan melahirkan mahasiswa yang berkualiti dan seimbang dalam semua aspek.

#UCSCemerlang