SHAH ALAM, 24 Jun 2023 – UiTM terus menempa nama di peringkat global dengan kerjasama sinergi bersama Rakan Strategik MoU, Universitas Komputer Indonesia (UNIKOM) di dalam penganjuran program webinar “Bridging Technologies Amongst Urban Folks” dan “Karnival Mahasiswa”.
Program yang telah dianjurkan secara bersama antara Kolej Pengajian Pengkomputeran, Informatik dan Media (KPPIM), UiTM Shah Alam serta UNIKOM ini telah berlangsung secara hibrid di Dewan Kuliah 2, Kompleks Al-Khawarizmi, KPPIM UiTM Shah Alam, dan secara dalam talian di Microsoft Teams serta saluran YouTube Rasmi KPPIM: School of Computing & Math Sc KPPIM UiTM Official. Program yang juga merangkap Majlis Penutup SULAM KPPIM 2023 ini telah dirasmikan oleh Prof. Ts Dr Haryani Haron, Penolong Naib Canselor KPPIM. Jalinan kolaborasi ini bertujuan memperkukuhkan pengetahuan dan kerjasama antara dua universiti tersebut, sekaligus membina sinergi yang kuat dalam bidang penyelidikan dan perkongsian ilmu berkaitan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).
Menurut Prof. Ts Dr Haryani Haron, “SULAM KPPIM 2023 ini lebih memberi makna apabila turut melibatkan rakan strategik dari UNIKOM. Selaras dengan inisiatif Universiti Terkemuka Dunia UiTM 2025 yang melihatkan pembukaan peluang kepada perkongsian ilmu serta data yang inovatif dan terkini”, tambah beliau lagi “program sebegini adalah langkah positif yang akan membawa kefahaman dan penghargaan yang lebih luas kepada pentingnya jalinan universiti bersama rakan dan masyarakat setempat secara strategik”.
Program yang bermula seawal jam 9 pagi telah dimulai dengan sesi ceramah bersama Tn Syed Azmi Alhabshi. Beliau cukup terkenal sebagai ahli farmasi yang telah mengasas beberapa inisiatif sosial seperti Persatuan Untuk Anak Kita (PUAKPayung), penasihat Kumpulan Cerita Orang Gagal dan Kumpulan Sukarelawan Ward Geriatrik Hospital Kuala Lumpur. Berasaskan pengalaman beliau sebagai pempengaruh usaha kemasyarakatan, beliau telah menekankan kepentingan dan keperluan teknologi dalam sesebuah komuniti. Menurut beliau “Sesuatu yang tak mungkin dipelajari boleh dipelajari dengan adanya komuniti,” ini jelas menunjukkan yang sesuatu ilmu itu akan mudah dipelajari jika bersama komuniti.
Sesi webinar diteruskan dengan sesi perkongsian oleh En Irawan Afrianto, Ketua Pensyarah (Lektor Kepala) Fakultas Teknik dan Ilmu Komputer dari Universitas Komputer Indonesia (UNIKOM) dengan topik “Connecting Urban Communities: Empowering Lives Through Technology”. Beliau telah berkongsi bagaimana teknologi semudah telefon pintar mampu mengukuhkan masyarakat bandar dan menjadi penyelesaian kepada masalah pengangkutan.
Sesi pengisian webinar turut menyaksikan penglibatan industri di mana Mr. Calvin Lim, Pengurus Pembangunan Perniagaan Krenovator telah menghuraikan manfaat yang disediakan platform Krenovator di dalam memperkukuhkan proses pembelajaran dan adaptasi pengguna terhadap kemahiran teknologi baru seperti Kecerdasan Buatan (AI), Internet of Things (IoT), Sains Data dan lain-lain bidang.
Memeriahkan lagi program hari tersebut adalah Karnival Mahasiswa yang turut diadakan di ruang legar Dewan Kuliah 2. Pelbagai reruai-reruai pameran disediakan yang menyampaikan maklumat mengenai Buli Siber, Pencurian Identiti, dan Kriptografi. Turut diadakan permainan pendidikan seperti Quizizz dan Word Search.
Dengan penyertaan lebih 230 peserta secara fizikal dan maya, penganjuran webinar dan karnival tersebut adalah amat berjaya. Program tersebut juga turut dimeriahkan dengan kehadiran komuniti Flat Mawar Cempaka di ketuai Tn Salehuddin Ismail, pengerusi Badan Pengurusan Bersama (JMB) dan Tn Isa Jusoh, pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT).
Program webinar “Bridging Technologies Amongst Urban Folks” dan “Karnival Mahasiswa” anjuran bersama UiTM dan UNIKOM adalah antara inisiatif SULAM KPPIM 2023. Inisiatif ini bertujuan meningkatkan komunikasi, memberi akses kepada informasi dan sumber daya, serta menggalakkan kerjasama dan inovasi antara dua pihak. Secara keseluruhan, aktiviti sebegini bukan sahaja menunjukkan teknologi boleh membawa dampak positif kepada komuniti, malah menyokong aspirasi Matlamat Pembangunan Mampan atau Sustainable Development Goals Empat dan Sebelas iaitu Pendidikan Berkualiti serta Bandar dan Masyarakat Mampan. Ia juga turut mendukung aspirasi Kerajaan untuk membentuk Masyarakat Madani.
Galeri Gambar: