Satu lawatan tapak telah diadakan bersama Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Pahang pada 9 Disember 2021 bertujuan sebagai satu medium sesi suai kenal antara pensyarah Pusat Pengajian Kejuruteraan Awam UiTM Cawangan Pahang bersama staf JKR yang mengendalikan projek JKR Maran dan JKR Jerantut. Lawatan ini diselaraskan di bawah program kolaborasi antara kedua-dua belah organisasi susulan Letter of Understanding (LoU) yang ditandatangi pada 14 Disember 2020 yang lalu.
Kehadiran yang mengikuti lawatan terbabit adalah seramai 5 orang pensyarah Pusat Pengajian Kejuruteraan Awam UiTM Cawangan Pahang (Puan Aimi Munirah Jalilluddin ,Encik Mohd Mustaqim Mohd Nordin, Puan Noorul Iqhlima Najwa Ismail, Puan Haslin Idayu Amaruddin, Ts. Dr. Jamilah Abd Rahim) yang berlatar belakangkan pelbagai bidang kejuruteraan awam beserta Timbalan Pengarah JKR Negeri Pahang, Ybrs. Ir. Ahmad Azizi Ismail dan Jurutera Awam Kanan (Bahagian Pengurusan Korporat JKR Pahang), Ir.Ts Mohd Sably bin Abd Latiff.
Sesi lawatan tapak pertama yang telah dilawati adalah ‘Projek Menaiktaraf Jalan Luar Bandar dari Simpang Felcra Ulu Kerut – Kg Orang Asli Bot-Bot – Felda Jengka 7 ke Jalan Kilang Sawit Jengka 18 di Daerah Maran’ di pejabat tapak JKR Maran. Projek ini yang dijalankan secara reka dan bina adalah untuk menaiktaraf jalan sediada yang berukuran sepanjang 17.03km yang terbahagi kepada dua pakej iaitu Pakej 1 (7.25km) dan Pakej 2 (9.78km) bagi kemudahan penduduk di kawasan berdekatan. Status terkini projek tersebut adalah Fasa Pembinaan dan dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2024.
Sesi petang diteruskan dengan lawatan tapak di ‘Projek Blok Tambahan Hospital Jerantut’ di bawah pengurusan JKR Jerantut dengan kaedah konvensional (in-house deisgn). Projek ini adalah pembangunan blok tambahan Hospital Jerantut bagi menampung peningkatan keperluan bagi ‘specialist service’ yang memerlukan ‘special facilities’ dan peralatan perubatan di bangunan hospital sediada. Blok tambahan tersebut merupakan bangunan dua tingkat yang mengandungi 3 jabatan utama dan kemudahan sokongan iaitu jabatan kecemasan & trauma (emergency department), klinik pakar (specialist clinic) dan jabatan wad (in-patient unit services). Projek ini dalam Fasa Pembinaan dan juga dijangka siap untuk beroperasi pada tahun 2024.
Hasil dari sesi lawatan ini terdapat beberapa pensyarah yang akan bekerjasama secara langsung dengan pihak JKR Maran dan JKR Jerantut untuk projek-projek yang dinyatakan. Selain daripada itu, penglibatan para pensyarah di dalam projek-projek tersebut dapat memberikan pendedahan pengalaman di industri serta meningkatkan profesionalisma pensyarah.