Potensi Penggunaan Buku Digital Atau E-Buku

Kejadian bah besar yang berlaku baru-baru ini dibeberapa negeri dalam negara kita telah memberikan impak yang sangat besar ke atas aspek, sosial, persekitaran dan juga ekonomi. Antara kesan besar akibat bencana ini adalah kerosakan buku fizikal yang dianggarkan mencecah jutaan ringgit. Dilaporkan juga oleh Sinar Harian pada 29 Disember 2021, sebuah gudang BookXcess yang diasaskan oleh Andrew Yap bertempat di Seksyen 33, Shah Alam juga berhadapan kerugian isu kerosakan buku sehingga mencecah 3.5 juta naskah. Manakala Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) pula perlu menggantikan sejumlah 263,662 buku teks yang telah rosak ekoran kejadian banjir yang sama dengan membabitkan 14,422 murid di seluruh negara.

Situasi yang berlaku ini sebenarnya memerlukan pendekatan drastik dari pelbagai pihak agar kerugian yang dialami dapat diminima sebanyak mungkin. Keperluan bahan bacaan semasa yang menjadi keperluan utama dalam sistem pembelajaran sewajarnya seiring dengan kelestarian alam disamping memenuhi ruang dan pilihan yang ada untuk dipertimbangkan. Sejajar dengan teknologi digital masa kini, sudah sampainya masanya bahan bacaan yang ada beralih konsep daripada buku fizikal sedia ada kepada buku digital atau e-buku.

Hal demikian kerana pengunaan e-buku dalam kalangan masyarakat kita hari ini semakin mendapat tempat dihati para pembaca, seiring dengan usaha pembukuan digital yang semakin berkembang pesat dalam kalangan penulis. Malah usaha pengeluaran bahan digital ini terus didokongi dengan pelancaran Portal U-Pustaka sedekad yg lalu yang mana sehingga kini terdapat 52 juta bahan bacaan digital yang terdiri daripada e-buku, e-majalah, e-jurnal dan e-pembelajaran, yang pastinya merancakkan lagi amalan pembacaan bahan digital sedia ada.

Penggunaan e-buku pada waktu ini adalah selaras dengan perkembangan era digital yang pesat dan pantas membangun. Hal demikian kerana kesediaan konsep e-buku memberikan banyak kelebihan jika dibandingkan buku fizikal yang memerlukan ruang penyimpanan buku yang besar selain melibatkan kos yang besar ketika proses cetakan dan pemasaran berbanding e-buku secara salinan lembut, ia pastinya terhindar dari isu pelupusan mahupun kerosakan khususnya apabila berlakunya bencana. Menerusi pengoperasian e-buku yang mudah dicapai melalui jaringan internet, ianya amat fleksibel disamping memenuhi keperluan semasa para pembaca ilmiah mahupun umum. Kemudahan ini secara tidak langsung akan mengalakkan budaya membaca dikalangan masyarakat Malaysia melalui bahan bacaan yang mudah untuk dicapai.

Seiring dengan itu satu inisiatif kearah penggunaan e-buku telah rancak dilakukan oleh Master Shiro Global Academy (MSGA) menerusi penyediaan satu platform digital kepada para pembaca dan penulis sendiri diluar sana untuk bertindak sebagai penerbit dan pemasar ke atas e-buku yang dikeluarkan . Menurut pengasasnya Hasrul Taufek Roslan, MSGA yang bermotokan ‘Jihad Ilmu, Jihad Ekonomi, Jihad Pendidikan bukan sahaja membantu perkembangan ilmu dan pendidikan, sebaliknya menyumbang kepada penjanaan ekonomi yang berterusan. Menerusi gandingan bersama dua badan bukan kerajaan iaitu Kelab Usahawan Ebook Malaysia (KUEM) dan Kelab Penulis Muda Malaysia (KPMM) sehingga hari ini MSGA berjaya melebarkan jaringan ruang pasaran digitalnya di 17 buah negara bersama lebih dari 3000 pemilik kedai buku digital yang terdiri daripada pelbagai latar belakang seperti pelajar, suri rumah, doktor, pensyarah, guru dan usahawan. Usaha ini terus dimantapkan lagi dengan pelbagai program taklimat, seminar dan bengkel hasil usahasama pelbagai pihak bagi menarik lebih ramai para penulis e-buku di samping merancakkan budaya membaca dalam kalangan masyarakat.

Justeru penggunaan bahan bacaan secara digital merupakan langkah wajar dalam menyemarakkan aktiviti membaca dalam kalangan penduduk Malaysia. Sifatnya yang fleksibel dan mudah diekses menerusi pelbagai gajet kegunaan harian sememangnya mampu memberikan nafas baru dalam industri pendidikan Malaysia.