SHAH ALAM, 4 NOVEMBER 2022 – Satu kerjasama strategik antara Universiti Teknologi MARA (UiTM) melalui Kolej Pengajian Kejuruteraan (KPK) dan salah satu Pusat Kecemerlangannya (CoE) iaitu Institut Penyelidikan Pembuatan Pintar (SMRI) di bawah Pejabat Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi) dengan INTI International University telah dicetuskan melalui satu sesi pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) hari ini.
Pemeteraian memorandum telah ditandatangani oleh YBhg. Prof. Datuk Ts. Dr. Hajah Roziah Mohd Janor, Naib Canselor UiTM, bersama Prof Wong Ling Shing (Pro-Vice Chancellor Research) INTI International University, dengan disaksikan oleh YBhg. Prof. Sr. Ir. Dr Haji Suhaimi Abdul Talib, Penolong Naib Canselor Kolej Pengajian Kejuruteraan dan Dr. Chan Siew Chong, Dekan Fakulti Kejuruteraan dan Juruukur Bahan, INTI International University.
Memorandum Persefahaman ini bertujuan untuk mempromosikan dan memperkukuh lagi bidang kepakaran serta kerjasama antarabangsa dari segi penyelidikan, dan pengajaran dan pembelajaran, bagi kesaksamaan dan faedah bersama.
Kolaborasi ini telah mengenalpasti pelbagai inisiatif bersama yang melibatkan perkongsian bidang kajian kepakaran dan penyelidikan, pembangunan modal insan yang melibatkan pelajar prasiswazah dan pascasiswazah setiap institusi, penganjuran simposium, persidangan, atau kursus-kursus pendek, serta pertukaran maklumat berkaitan perkembangan pengajaran dan pembelajaran.
Antara bidang yang akan diterokai bersama adalah pembangunan harta intelek dalam bidang kejuruteraan yang mana kedua-dua institusi mempunyai kekuatan masing-masing dari segi program yang ditawarkan serta bidang penyelidikan dan inovasi yang boleh disinergikan kerjasama.
Menurut Naib Canselor UiTM, YBhg. Prof. Datuk Ts. Dr. Hajah Roziah Mohd Janor, pemeteraian MoU antara kedua-dua institut Pengajian Tinggi akan mewujudkan kerjasama sinergi antara UiTM dan INTI International University dalam bidang Kejuruteraan Mekanikal dengan tumpuan khusus kepada pembangunan teknologi Revolusi Industri ke-4 dan ke-5. “Memorandum Persefahaman ini menunjukkan komitmen UiTM dan INTI untuk bekerjasama dengan lebih erat ke arah matlamat bersama kami untuk menggalakkan kerjasama akademik antarabangsa dan memajukan pembangunan modal insan dan intelek dalam bidang teknologi simulasi, inovasi dan aktiviti penyelidikan strategik dan peluang kerjasama termaju.”
Dengan termeterainya memorandum ini, diharap akan meningkatkan lagi aktiviti-aktiviti perkongsian kepakaran dalam bidang kajian, inovasi, serta pengajaran dan pembelajaran antara pensyarah dari kedua-dua institusi. Kerjasama dan komitmen yang berterusan daripada keduanya amat diharapkan bagi memastikan setiap inisiatif dapat menghasilkan hasil kajian yang berimpak tinggi, serta graduan yang berkualiti dan cemerlang.