BHEP UiTM Wujud Medium Komunikasi Dua Hala Bersama Pelajar OKU

SHAH ALAM, 1 NOVEMBER 2022 – Golongan orang kurang upaya (OKU) merupakan sebahagian daripada masyarakat. Oleh itu, mereka mempunyai kesaksamaan hak dan peluang untuk menjalani kehidupan seperti anggota masyarakat yang lain. Pendekatan berasaskan hak atau rights-based dan juga perlindungan wajar digunakan bagi menjamin kepentingan dan kesejahteraan OKU. UiTM menerusi Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP) sentiasa memastikan hak pelajar OKU terjamin dan sentiasa diberikan perhatian serta keutamaan.

Inisiatif utama yang telah diambil dalam mengeratkan ukhuwah antara pelajar OKU dengan BHEP adalah dengan tertubuhnya kumpulan dalam aplikasi Whatsapp yang melibatkan semua pelajar OKU UiTM se-Malaysia serta barisan pengurusan HEP. Usaha ini sejajar dengan hasrat YBhg. Profesor Dr. Haji Mohd Sazili Shahibi, Timbalan Naib Canselor (HEP) dalam mengutamakan kebajikan pelajar OKU yang menuntut di UiTM. Medium perhubungan dua hala ini diuruskan dan dikelolai oleh Unit Korporat dan Tugas-Tugas Khas HEP.

Antara matlamat utama penubuhan kumpulan ini adalah untuk memastikan setiap permasalahan dan pandangan pelajar OKU UiTM disalurkan secara terus kepada pihak BHEP. Platform ini juga menjadi tempat rujukan dan perkongsian maklumat kepada mahasiswa OKU UiTM terutamanya daripada aspek persekitaran tempat belajar, kemudahan dan perkhidmatan sokongan. Dengan itu, permasalahan yang diusulkan juga akan diselesaikan segera demi menjamin kebajikan mahasiswa OKU. Selain itu, BHEP melalui platform ini dapat mencari dan mencungkil bakat pelajar-pelajar OKU dalam aktiviti yang dianjurkan oleh BHEP seperti aktiviti kepimpinan, kerohanian, pengucapan awam dan sebagainya. Langkah ini secara tidak langsung dapat mengangkat nama UiTM ke peringkat yang lebih tinggi kerana inklusiviti yang diterapkan dalam warganya.

Selain itu, tujuan kepada penubuhan platform ini juga adalah bagi membantu dan menyokong UiTM dalam mengemaskini maklumat mahasiswa OKU UiTM dan pelaksanaan program-program kesedaran, pemerkasaan dan pemberdayaan OKU di UiTM. Oleh itu, BHEP akan sentiasa berusaha yang terbaik bagi memastikan hak pelajar OKU UiTM terjamin dan sentiasa dijaga. BHEP juga akan sentiasa mengambil langkah-langkah proaktif bagi memastikan graduan OKU UiTM antara yang terbaik pada masa akan datang.