Kolaborasi Penganjuran Kuiz “HEALTH AND WELLNESS” DMAP@School SK Tambak Jawa dengan FSK UiTM Perkukuhkan Pengisian Program Transformasi Sekolah 2025 (TS25)

Baru-baru ini, pasukan DMAP@School FSK UiTM telah dijemput berkolaborasi dengan SK Tambak Jawa, Jeram bagi menganjurkan Kuiz Health and Wellness bersempena dengan Sambutan Bulan Kecergasan SEKTAJ 2023. Penganjuran kuiz yang julung-julung kalinya diadakan ini merupakan inisiatif pihak sekolah bersama pihak Fakulti Sains Kesihatan, UiTM Selangor.  Tujuan utama kuiz ini dijalankan adalah bagi memupuk kesedaran di kalangan murid-murid mengenai peri pentingnya menjaga kesihatan dan memupuk semangat cintakan kesihatan melalui pembacaan bahan-bahan rujukan dan artikel berunsurkan kesihatan untuk menambahkan ilmu pengetahuan. Dalam pada itu juga, kolaborasi penganjuran kuiz ini merupakan salah satu elemen dalam Program Transformasi Sekolah (TS25). Program TS25 ini  merupakan sebahagian daripada usaha Kementerian Pendidikan Malaysia ke arah meningkatkan kemenjadian murid dan sekolah yang berkualiti tinggi agar selaras dengan keperluan semasa pendidikan di negara kita, melalui aplikasi amalan terbaik dalam pelaksanaan pengurusan dan kepimpinan serta pedagogi yang mana ianya melibatkan kerjasama ibu bapa, komuniti dan pihak rakan strategik (Rakan ELIT) demi mencapai kejayaan dan kemenjadian murid.

     

 

Penganjuran kuiz kali ini menyasarkan murid-murid Tahap 2 yang mana mereka perlu mewakili rumah sukan masing-masing untuk menjawab soalan-soalan yang diberikan oleh panel. Setiap rumah sukan diwakili oleh empat orang murid dan setiap peserta telah diberikan bahan bacaan khas untuk dibaca sebelum menjalani kuiz. Antara topik-topik dan artikel yang disediakan untuk dibaca oleh murid-murid sebelum kuiz dijalankan adalah berkaitan dengan bahaya rokok, vape, kepentingan sayur-sayuran dan buah-buahan, jenis-jenis darah, kebaikan bersenam, pengambilan nutrient dan vitamin yang betul, fakta-fakta kesihatan, pengetahuan umum dan sebagainya. Kuiz dijalankan secara lima pusingan mengikut format klasik, dan dua kumpulan terbaik telah dipilih memasuki acara penentu juara di pusingan akhir. Dari UiTM, panel yang dilantik serta mengendalikan kuiz dan menyediakan soalan-soalan kuiz tersebut adalah Dr Evana Kamarudin, Pensyarah Kanan dari Pusat Pengajian Teknologi Makmal Perubatan, dan juga En Razif bin Dasiman, Pensyarah Kanan (Fisiologi) dari Jabatan Sains Asas, Fakulti Sains Kesihatan, UiTM. Kuiz kali ini turut disaksikan oleh barisan pentadbir, guru-guru serta wakil ibubapa yang turut sama hadir memeriahkan Sambutan Minggu Kecergasan tersebut. Selain kuiz, pameran hobi, pertandingan melukis poster dan mewarna bertemakan Penjagaan Kesihatan juga telah dijalankan yang mana ianya melibatkan murid-murid Tahap 1 dan Tahap 2.

Adapun, penganjuran kuiz “Health and Wellnes” ini juga merupakan bukti kerjasama pihak FSK UiTM sebagai rakan strategik sekolah dalam memberikan khidmat nasihat, perundingan, kunjung bantu dan memberi sokongan professional kepada pihak sekolah dalam merealisasikan kemenjadian murid melalui penganjuran aktiviti berimpak tinggi, positif dan bermanfaat. Hal ini juga adalah selaras dengan matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN) khususnya SDG 3: Good Health and Well-being, SDG 4: Quality Education dan SDG 16: Peace and Strong Institution. Selain dapat meningkatkan daya keyakinan murid, penganjuran kuiz ini juga dapat memupuk sifat keberanian, kesungguhan serta tidak putus asa di kalangan murid. Mereka belajar untuk  berkomunikasi dengan rakan sekumpulan, berbincang secara ilmiah serta berani untuk membuat keputusan bersama-sama. Dengan adanya kolaborasi program seperti ini, wadah perkongsian ilmu antara pihak UiTM dengan pihak sekolah dapat dikembangkan dan diperkasakan. Selain itu, hubungan baik antara pihak universiti dengan komuniti luar, warga sekolah khususnya dapat dipereratkan lagi agar penyampaian ilmu dapat diteruskan demi mencapai objektif bersama dalam membentuk generasi akar umbi yang kaya dengan ilmu, berdaya saing, berani, beradab dan rajin menuntut ilmu.